MENTERI Luar India Subrahmanyam Jaishankar hari ini memberi taklimat kepada parti politik mengenai Afghanistan dan berkata, wujud persetujuan bersama mengenai keadaan di negara terbabit.
“Mengenai perkara itu, kami semua mempunyai pandangan hampir sama. Kita mempunyai permuafakatan kebangsaan yang kuat mengenai isu Afghanistan,” kata Jaishankar kepada pemberita selepas taklimat itu.
Mesyuarat di New Delhi itu dihadiri 37 pemimpin daripada 31 parti politik di India.
Jaishankar berkata, India sudah membawa keluar hampir kesemua rakyatnya dari Afghanistan dan sedang berusaha membawa pulang baki warganya yang masih menunggu.
Pergerakan Taliban mengambil alih Afghanistan selepas Presiden Mohammad Ashraf Ghani melarikan diri dari Kabul dan pentadbirannya yang disokong Amerika tumbang pada 15 Ogos lalu.
Jaishankar berkata, India mahu peranannya di Afghanistan diiktiraf dalam apa jua ‘keputusan dan perhimpunan antarabangsa’ mengenai sebarang perkembangan baharu di negara bergolak itu. – Bernama, 26 Ogos, 2021.
Komen