Peralihan Selangor ke Fasa 2 membimbangkan, kata pakar kesihatan, ahli Parlimen


Angie Tan Noel Achariam

Dengan kes Covid-19 harian berjumlah 7,000 dan lebih 200 kematian dicatatkan sehari, pemilik restoran bimbang Selangor masih belum bersedia memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2021.

PAKAR kesihatan dan ahli Parlimen memberi amaran kepada Putrajaya untuk berhati-hati melaksanakan peralihan Selangor ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bulan depan kerana negeri ini masih menjadi pusat virus dengan melaporkan rata-rata 6,000 kes Covid-19 setiap hari.

Mereka berkata, vaksin bukan penyelesaian mudah dan orang ramai masih boleh dijangkiti virus walaupun selepas menerima suntikan vaksin.

Adun Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee memberitahu The Malaysian Insight bahawa keadaan di Klang, Selangor masih serius dengan lebih 2,000 kes baharu sehari direkodkan.

Jumlah kes baharu di Selangor meningkat antara 5,000 hingga 8,000 dan mencapai kemuncaknya pada 6 Ogos dengan 8,792 kes.

Negeri ini mencatat 6,936 kes semalam dengan jumlah keseluruhan kes 24,599 direkodkan, jumlah tertinggi sejak wabak melanda di negara ini.

Tony berkata, beliau bimbang keadaan akan bertambah buruk sekiranya lebih banyak sektor ekonomi dibiarkan dibuka.

“Jumlah kematian masih sangat tinggi. Dalam beberapa hari terakhir, terdapat antara 200 dan 300 kematian sehari atau lebih. Walaupun kita sudah melengkapkan dua dos vaksin, masih ada jangkitan bahkan kematian. Ini bukan jenaka,” katanya.

Walaupun industri makanan dan minuman kini dibenarkan beroperasi, ramai pekerja restoran dijangkiti virus yang menyebabkan operasi perniagaan terhenti sementara.

“Kami mempunyai kumpulan WhatsApp dengan industri F&B dan ada kemas kini berterusan daripada pekerja yang sudah dijangkiti virus. Industri berkenaan sangat risau.

“Walaupun Kementerian Kesihatan hanya meminta premis ditutup selama tiga hari selepas kes dikesan untuk sanistasi, ada yang ditutup selama 21 hari untuk memastikan keselamatan terjamin,” katanya.

Beliau berkata, banyak gerai dan restoran di tepi jalan kini ditutup dan kebanyakan peniaga di kawasan Pelabuhan Klang memilih untuk menghentikan operasi.

“Ia harus berdasarkan standard yang ditetapkan sebelumnya, (Selangor) perlu mempunyai kurang dari 2,000 kes sehari sebelum berpindah ke Fasa 2. Tambahan pula, jumlah kes yang disahkan masih sangat tinggi,” kata Leong.

Saringan besar-besaran di daerah Klang bagi mengesan pesakit Covid-19 tanpa gejala dan segera membawa mereka mendapatkan rawatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2021.

Katanya, Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang juga berdepan masalah tenaga kerja kerana banyak kes yang berkaitan dengan kontak rapat menunjukkan bahawa virus itu ada dalam komuniti.

“Kita tidak tahu adakah kita ada bersentuhan dengan pembawa senyap ketika kita keluar, jadi itu sebabnya kita memutuskan untuk mengadakan saringan besar-besaran di daerah berkenaan pada akhir bulan ini.

“Ini juga merupakan saringan kelima di daerah ini. Saya harap kita dapat mengesan pesakit tanpa gejala dan membawa mereka mendapatkan rawatan,” kata Leong.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari baru-baru ini bekata, negeri itu bersedia berpindah ke Fasa 2 PPN pada September kerana 98% penduduk sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Beliau menambah, kemasukan ke hospital juga semakin menurun.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago bagaimanapun berkata tidak semua sektor sepatutnya dibuka apabila memasuki Fasa 2.

Sebaliknya kata Santiago, pihak berkuasa perlu berusaha membuka lebih banyak sektor mengikut daerah yang kurang jangkitan.

“Negeri perlu membuka di setiap daerah secara bertahap dengan melakukan pemeriksaan ketat terhadap jumlah jangkitan, keadaan hospital dan kadar vaksinasi.

“Mereka harus fokus pada daerah-daerah dan memastikan adakah kawasan itu sudah bersedia untuk dibuka,” katanya.

Santiago juga berkata, sebuah badan bebas perlu ditubuhkan oleh pakar perubatan untuk melakukan pemeriksaan.

“Mereka (pakar perubatan) mesti luar dari sistem dan bukan merupakan sebahagian dari kerajaan negeri.

“Badan pengawas ini kemudian dapat memaklumkan daerah mana yang perlu dibuka,” katanya.

Santiago berkata, terdapat 60,000 kes di Klang antara 21 Julai dan 26 Ogos. – 27 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen