RAKYAT Malaysia di Singapura yang sudah mendapat vaksin lengkap meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan kementerian memberi jawapan bagi permohonan mereka untuk kuarantin di rumah agar dapat bersama keluarga.
Mereka berkata sudah mengajukan permohonan untuk pulang ke tanah air sejak pengumuman kerajaan pada 8 Ogos, yang rakyat Malaysia sudah divaksin dibenarkan kuarantin di rumah sekembalinya dari Singapura.
Sebelum ini, mereka hanya diberi pilihan kuarantin di hotel selama dua minggu, yang mendorong ramai mengambil keputusan tidak pulang kerana ia menyebabkan tempoh bersama keluarga berkurangan.
Namun semenjak pengumuman itu, ramai masih menunggu jawapan termasuk seorang bakal ibu.
Foong Weng Khong, 33, memberitahu The Malaysian Insight beliau gembira dengan keputusan kerajaan.
Pekerja di limbungan kapal itu berkata beliau sudah lama tidak bertemu keluarganya di Johor Baru, dan sangat merindui dua anaknya yang berusia satu dan tiga tahun.
“Saya sudah membuat permohonan dan merancang pulang pada akhir bulan ini, dan kemudian tinggal selama tiga bulan sebelum kembali ke Singapura untuk meneruskan kerja,” kata Foong.
“Saya belum mendapat maklum balas rasmi. Prosesnya begitu perlahan.”
Lim Swee Seng, 36, seorang pengaturcara jentera, juga berkata mereka menunggu terlalu lama.
Lim, yang juga berasal dari Johor, ingin mengetahui apakah Kementerian Kesihatan boleh menguruskan proses permohonan dan kelulusan, sambil menambah ia tidak begitu rumit.
“Namun, sistem Kementerian Kesihatan tersekat sejak pengumuman dibuat. Saya menunggu selama lapan hari sebelum bernasib baik mendapat respons,” katanya.
Beliau berada di pusat pemeriksaan Singapura untuk memasuki Malaysia semasa temubual ini.
“Akhirnya saya dapat pulang menemui isteri dan anak-anak saya. Anak-anak sering bertanya bila dan mengapa saya tidak balik,” kata Lim.
Beliau juga mendesak semua rakyat Malaysia yang pulang agar berdisiplin semasa kuarantin kerana bimbang peraturan itu akan ditarik jika disalahgunakan.
Seorang bakal ibu, Miko Khor, 29, berkata peraturan kuarantin di rumah tepat pada waktunya memandangkan beliau bakal melahirkan anak.
“Saya masih ada dua bulan sebelum bersalin. Jadi, saya merancang untuk balik bulan ini.
“Jika kerajaan tidak mengumumkan langkah ini, saya terpaksa membelanjakan sekurang-kurangnya RM2,000 untuk kuarantin di hotel.
“Sekarang, saya dapat menjimatkan kos untuk tujuan lain,” kata Khor.
Namun, beliau juga menghadapi kesulitan mendapat maklum balas daripada kementerian selepas menghantar permohonannya melalui e-mel.
“Saya sudah menghantar e-mel lain dan masih belum ada berita. Dengan keadaan ini, bersama beberapa faktor peribadi, saya mungkin berdepan kelewatan kembali ke tanah air,” katanya. – 27 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini
Komen