JUMLAH individu divaksin sepenuhnya yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) meningkat kepada 56 orang hari ini berbanding 38 orang semalam, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata, daripada jumlah itu, 36 pesakit berada di Kategori 5 (keadaan kritikal dana memerlukan alat bantuan pernafasan) dan selebihnya berada di kategori 4 (pesakit mengalami radang paru-paru dan memerlukan oksigen).
Semalam, 38 kes dimasukkan ke ICU, 25 daripadanya berada di Kategori 5 dan 13 di Kategori 4.
Malaysia melaporkan 24,599 kes baharu Covid-19 hari ini dan KP kesihatan berkata sebahagian besar kes adalah dari Kategori 1 dan 2.
Beliau berkata, 23,939 atau 97.3% kes hari ini berada di bawah dua kategori ini sementara hanya 660 kes dalam Kategori 3, 4 dan 5.
Dari kes-kes dalam Kategori 1 dan 2, 4,745 kes melibatkan mereka yang sudah menerima dos vaksin sepenuhnya.
Sebanyak 2,125 kes berada dalam Kategori 1 dan 2,308 dalam Kategori 2.
Noor Hisham berkata, 19,761 atau 80.3% kes hari ini adalah mereka yang belum diberi vaksin atau belum lengkap vaksin.
Dari jumlah tersebut, terdapat 9,196 pesakit Kategori 1, 9,998 Kategori 2 dan 160 Kategori 3.
Terdapat 98 kes di Kategori 4 dan 309 di Kategori 5.
Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata, mereka memberikan 423,380 vaksin semalam – 161,386 menerima dos pertama dan 261,994 sudah menerima dos kedua.
Secara keseluruhan, 32,635,907 juta dos vaksin sudah diberikan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula pada 24 Februari. – 26 Ogos, 2021.
Komen