Pemilihan presiden Parti Liberal Demokratik Jepun diadakan 29 September


Perdana Menteri Yoshihide Suga akan bertanding sekali lagi untuk mempertahankan jawatannya sebagai presiden Parti Liberal Demokratik jepun. – Gambar EPA, 26 Ogos, 2021.

PARTI memerintah, Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun pada Khamis mengumumkan pemilihan presiden bakal diadakan pada 29 September dan kempen bermula 17 September, menurut Xinhua memetik media tempatan.

Perdana Menteri Yoshihide Suga berkata beliau akan bertanding sekali lagi untuk mempertahankan jawatannya sebagai presiden parti. Tempoh jawatan presiden parti bakal berakhir pada 30 September. 

Sekiranya dipilih buat kali kedua, kedudukan Suga untuk kekal sebagai perdana menteri lebih cerah.

Pada awal minggu ini, Ketua Setiausaha Toshihiro Nikai dan ketua hal ehwal Diet Hiroshi Moriyama berkata mereka akan menyokong pencalonan semula Suga sebagai presiden LDP.

Tidak dapat dipastikan sama ada Suga mampu mempertahankan jawatan presiden untuk penggal kedua, berikutan undian kali ini diperluas kepada anggota LDP dan kumpulan bersekutu.

Selain pemilihan presiden parti, pilihan raya umum turut menjadi tumpuan kerana tempoh pemerintahan Dewan Perwakilan selama empat tahun bakal berakhir pada 21 Oktober. – Bernama, 26 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen