YouTube padam 1 juta video palsu Covid-19


YouTube padam lebih sejuta video yang menyebarkan maklumat salah mengenai koronavirus sejak pandemik Covid-19 bermula. – Gambar EPA, 26 Ogos, 2021.

YOUTUBE memadam lebih sejuta video yang menyebarkan maklumat salah mengenai koronavirus sejak pandemik Covid-19 bermula.

Aplikasi video milik Google itu mengeluarkan kenyataan selepas dikritik pemimpin politik kerana gagal membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19 dan isu berkaitan yang memudaratkan umum.

YouTube, dalam satu kenyataan di blog berkata ia bergantung kepada konsensus pakar daripada pertubuhan kesihatan termasuk Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagaimanapun, ia bahawa dalam sesetengah kes, maklumat palsu agak samar berikutan banyak maklumat baharu diterima.

Ketua Pegawai Produk Neal Mohan berkata dasar YouTube tertumpu kepada memadamkan sebarang video yang mungkin mengakibatkan kesan buruk kepada dunia secara umum.

“Sejak Februari 2020, kami memadam lebih sejuta video berkaitan bahaya koronavirus termasuk ubat palsu atau penipuan berkaitan rawatan.

“Ketika pandemik global sekarang, setiap orang harus mendapat maklumat terkini yang sahih bagi memastikan diri dan keluarga selamat,” katanya.

YouTube berkata ia sedang berusaha untuk mempercepatkan proses memadam video mengandungi maklumat salah dan pada masa sama, menonjolkan berita sahih.

Mohan berkata platform itu pada masa ini mengendalikan hampir 10 juta video setiap suku tahun dan kebanyakannya dilihat kurang 10 kali. – AFP, 26 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen