PARLIMEN Armenia bertukar menjadi gelanggang “tinju” apabila apabila ahli Parlimen saling bergaduh.
Pada sidang semalam, ahli Parlimen pembangkang mula membaling botol minuman ke aras speaker sebelum beliau terpaksa mengarahkan sidang dihentikan dan memanggil anggota keselamatan bagi mengawal ketenteraman.
Susulan itu, botol minuman dan cecair pembasmi kuman dilarang dibawa masuk ke dalam dewan.
Bagaimanapun, selepas persidangan disambung, pergaduhan tercetus sekali lagi apabila perang mulut berlaku membabitkan timbalan ketua pembangkang.
Seorang ahli Parlimen parti Civil Contact pimpinan Perdana Menteri Nikol Pashinyan kemudian cuba menendang ahli Parlimen pembangkang sehingga mencetuskan pergaduhan besar dalam kalangan anggota dewan.
Beberapa ahli Parlimen terpaksa dibawa keluar anggota keselamatan dan seorang daripadanya dibawa ke hospital bagi menerima rawatan selepas mengalami kecederaan di mata.
Armenia berdepan perpecahan selepas negara itu tewas dalam peperangan dengan Azerbaijan pada tahun lalu bagi mengawal Nagorno-Karabakh hingga mengorbankan 6,500 nyawa.
Pashinyan berdepan kecaman selepas melakukan rundingan damai dengan Azerbaijan yang menyaksikan Armenia menyerahkan wilayah dikawalnya sejak puluhan tahun lalu.
Peperangan yang berakhir menerusi gencatan senjata dengan Rusia menjadi perunding, menyebabkan Baku mengambil alih kawalan Karabakh dan daerah sekitarnya yang sebelum ini dikawal tentera Armenia sejak 1994.
Moscow menempatkan pasukan pengaman di wilayah berkenaan bagi mengawal gencatan senjata, sekali gus menghentikan pertempuran. – AFP, 26 Ogos, 2021.
Komen