SEORANG lelaki yang didakwa menjadi “raja seludup spesis terancam” Asia ditahan polis Thailand seterusnya menjejaskan sindiket diurus keluarga yang menyeludup gading gajah, tanduk badak sumbu dan anggota badan harimau ke peniaga China dan Vietnam.
Boonchai Bach, 48, seorang rakyat Vietnam tetapi mempunyai kewarganegaraan Thailand ditahan pada Jumaat petang kerana menyeludup 14 tanduk badak sumbu bernilai sekitar AS$1 juta dari Afrika ke Thailand.
Perkembangan terbaru itu berlaku susulan penangkapan Nikorn Wongprachan, seorang pegawai Jabatan Taman Negara dan Pemeliharaan Haiwan Liar Thailand pada 12 Disember lalu di lapangan terbang utama Bangkok selepas dia cuba memindahkan tanduk badak sumbu dari kawasan kuarantin ke apartmen berhampiran.
Tanduk itu diseludup masuk ke Bangkok oleh seorang lelaki warga China yang ditahan sehari sebelum itu selepas tiba dari Johannerburg, Afrika Selatan.
Operasi berterusan polis itu seterusnya membawa mereka kepada Boonchai yang membiayai sindiket penyeludupan itu.
“Ini adalah sindiket penyeludupan utama dan Boonchai adalah ketuanya,” kata Timbalan Ketua Polis Jeneral Chalermkiat Srivorakan kepada wartawan hari ini selepas suspek tiba di Lapangan Terbang Suvarnabumi sebelum ditahan.
“Boonchai mengakui dia terlibat,” kata Chalermkiat menambah yang Boonchai bakal berdepan hukuman penjara sehingga empat tahun kerana menyeludup binatang dilindungi.
Bertahun lamanya, Boonchai dan keluarga Bach dipercayai beroperasi tanpa tindakan di kawasan utara Thailand, Nakhon Phanom di sempadan Laos- pemain utama dalam perdagangan haram haiwan liar bernilai jutaan ringgit.
Bandar itu adalah kawasan utama rankaian penyeludupan haiwan liar Asia, kerana sempadannya luas memudahkan penyeludupan untuk menerusi Thailand ke Laos dan Vietnam, pasaran utama bahagian haiwan dilindungi untuk perubatan tradisional.
Freeland, sebuah organisasi anti penyeludupan yang bekerjasama rapat dengan polis Thailand mengatakan keluarga Bach adalah sebahagian organisasi jenayah terancang wujud di seluruh Asia Tenggara dikenali dengan nama “Hydra”.
Keluarga Bach “telah lama menguruskan rantaian penyeludupan antarabangsa haiwan liar dari Asia dan Afrika untuk pembeli utama di Laos, Vietnam dan China,” kata Freeland dalam satu kenyataan susulan penangkapan Boonchai.
Mereka dipercayai bekerjasama dengan Vixay Keosayang, seorang warga Laos yang digelar “Pablo Escobar penyeludupan haiwan” yang menguruskan sindiket penyeludupan haiwan liar dari negara Komunis itu dengan merasuah pihak berkuasa bagi membolehkan dia beroperasi.
Laos sudah lama menjadi pusat penyeludupan produk haiwan liar, disebabkan korupsi dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang.
China dan Vietnam adalah antara pasaran utama dunia anggota badan haiwan dilindungi atau terancam termasuklah harimau, gajah, badak sumbu dan tenggiling.
Pasaran ubat tradisional terus berkembang walaupun kekurangan bukti saintifik akan keberkesanannya ketika pelbagai negara terus berusaha menghapuskan perdagangan haiwan liar itu. – AFP, 20 Januari, 2018.
Komen