Ismail menghadap Agong di Kuantan, kata laporan


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dijangka mempersembahkan senarai anggota kabinet bagi pembentukan kerajaan baharu kepada Yang di-Pertuan Agong.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2021.

ISTANA Negara mengesahkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini, lapor The Star.

Laporan itu memetik sumber istana yang mengesahkan Ismail akan menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kuantan.

“Ya, majlis menghadap bagi perdana menteri ditetapkan di Kuantan,” kata sumber itu.

Majlis menghadap itu menjadi perhatian kerana Ismail dijangka mempersembahkan senarai anggota kabinet bagi pembentukan kerajaan baharu selepas mengangkat sumpah jawatan perdana menteri.

Beliau semalam mendapat jaminan pembangkang untuk tidak ditekan dalam undi percaya, selagi beliau memastikan keadaan politik stabil dan melaksana dasar membantu rakyat.

Dalam pertemuan dengan pemimpin pembangkang itu, beliau juga menangani ikrar bersama untuk menjamin kebebasan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang lebih baik.

Dalam kenyataan yang ditandatangani bersama dengan pemimpin pembangkang, beliau juga bersetuju memperkasa fungsi Parlimen menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif.

Ia ditandatangani bersama oleh Ismail Sabri, Presiden PKR Anwar Ibrahim yang juga ketua pembangkang, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Ia mengulangi nada ucapan sulungnya pada Ahad lalu, sehari selepas mengangkat sumpah jawatan perdana menteri, mengenai kepentingan menyelamatkan negara dan rakyat sebagai sebuah keluarga besar.

Dalam ucapan sulungnya juga Ismail Sabri mempelawa pembangkang membantu pentadbirannya dengan menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Jemputan itu diulangi oleh Ismail Sabri semasa lawatan kerja pertamanya di Yan, Kedah.

Tiga ketua parti dalam PH dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan sebelum pertemuan dengan Ismail Sabri berkata mereka sedia mempertimbang pelawaan itu sekiranya ikhlas untuk menangani krisis.

Mereka tidak mahu jemputan itu sekadar tangkap muat atau untuk menjadi pak turut kepada pandangan dan keputusan kerajaan.

Ismail menggantikan perdana menteri kelapan Muhyiddin Yassin antara lain meraih kritikan kerana membentuk kerajaan dengan 70 anggota kabinet, jumlah paling besar dalam sejarah Malaysia. – 26 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen