BRITAIN mengeluarkan amaran kepada warganya agar menjauhi lapangan terbang di Kabul, yang menjadi tumpuan selepas ribuan penduduk Afghanistan cuba menaiki pesawat untuk meninggalkan negara itu selepas Taliban mengambil alih Afghanistan.
Washington dan sekutunya memindahkan ribuan warga Afghan setiap hari menggunakan pesawat tentera, namun kini tugas itu menjadi lebih sukar.
“Jangan melakukan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, terdapat ancaman serangan pengganas,” kata Pejabat Hal Ehwal Luar Negara dan Komanwel dalam satu nasihat perjalanan di laman webnya.
Ia turut menggesa warganya yang berada di kawasan lapangan terbang itu untuk ke lokasi selamat dan menunggu arahan selanjutnya.
“Sekiranya anda boleh keluar dari Afghanistan melalui jalan selamat, sila berbuat demikian segera,” katanya.
Washington berkata Taliban memberi jaminan bahawa warga Amerika, Afghanistan dan rakyat dari negar alain akan dibenar meninggalkan negara itu selepas tarikh akhir pengunduran tenetra AS.
“Mereka ada tanggungjawab untuk memegang komitmen itu dan menyediakan laluan selamat kepada sesiapa yang mahu meninggalkan negara itu,” kata Setiausaha Negara AS Antony Blinken kepada pemberita.
Sekuran-kurangnya lapan orang maut dalam kekecohan di lapangan terbang.
Belgium turut menamatkan operasinya selepas memindahkan semua warganya serta warganegara lain dari Belanda, Denmark dan Luxembourg serta warga Afghanistan yang mencari suaka politik di negara itu.– AFP, 26 Ogos, 2021.
Komen