4 terbunuh dalam insiden tembakan di Tanzania 


Polsi Tanzania meningkatkan kawalan keselamatan di Dar es Salaam susulan insiden tembakan di luar kedutaan Perancis.– Gambar EPA, 26 Ogos, 2021.

TIGA anggota polis dan seorang pengawal keselamatan terbunuh dalam serangan berhampiran kedutaan Perancis di hab ekonomi Dar es Salaam, Tanzania pada Rabu, kata polis. 

Ketua operasi polis Liberatus Sabas membertahu pemberita motif serangan oleh seorang penyerang yang dibunuh penembak tepat polis, masih belum diketahui. 

“Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan ia serangan pengganas kerana kita masih menyiasat motif serangan.

“Penduduk diminta bertenang kerana kita sedang menyiasat perkara ini,” katanya. 

Menurutnya, selain empat terbunuh, enam lagi turut cedera dalam insiden yang berlaku di kawasan tepi pantai di Dar es Salaam yang menempatkan kediaman sejumlah kedutaan. 

Rakaman media tempatan memaparkan seorang lelaki bersama sepucuk senjata berkeliaran di jalan raya berhampiran sebuah bas. 

Dia kemudian dilihat ditembak dan rebah berhampiran pintu masuk ke kedutaan Perancis. 

“Lelaki itu lalu di tepi saya dan apabila say amenegurnya dia hanya diam. Dia kelihatan berpeluh. Selepas beberapa ketika kami terdengar bunyi tembakan,” kata seorang saksi yang enggan identitinya dikenali. 

Presiden Samia Suluhu Hassan turut mengucapkan takziah berhubung insiden itu dan mengerahkan polis menjalankan siasatan menyeluruh. 

Duta Amerika Syarikat ke Tanzania Donald J. Wright turut mengucapkan takziah berhubung serangan itu serta mengucapkan terima kasih kepada petugas keselamatan yang berjaya menamatkan insiden berkenaan. 

Sementara itu kementerian luar Perancis enggan mengulas ketika dihubungi AFP. – AFP, 26 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen