TANGGUNGJAWAB wakil rakyat kini semakin besar ekoran peningkatan jumlah anak yatim piatu yang kematian ibu bapa disebabkan Covid-19.
Ahli politik kini perlu memenuhi segala keperluan anak-anak ini, ada yang berusia semuda dua tahun, termasuk mencari tempat tinggal dan bantuan kewangan untuk masa depan mereka.
Pada 13 Ogos, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melaporkan sebanyak 33 kanak-kanak di seluruh negara menjadi yatim piatu akibat pandemik.
Dalam satu kes di Hulu Selangor, lapan kanak-kanak berusia antara empat hingga 19 tahun menjadi yatim piatu selepas kedua ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 bulan lalu.
Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow berkata masih banyak lagi kes sedemikian di kawasannya tahun lalu.
“Anak-anak yatim piatu ini masih di bawah tanggungan ibu bapa mereka, ada yang masih bersekolah, dengan yang bongsu hanya berusia dua tahun.
“Walaupun ramai rakyat Malaysia yang baik hati membantu anak-anak ini, tetapi saya bimbang tentang masa depan mereka,” kata Leow kepada The Malaysian Insight.
Dalam kes lapan beradik yang menjadi yatim piatu, Leow berkata beliau merasa sangat sedih dan simpati dengan nasib yang menimpa mereka.
“Mereka telah diambil sebagai anak angkat oleh usahawan, namun sukar untuk anak-anak ini berdepan dengan trauma kerana kehilangan ibu bapa mereka.
“Penderitaan ini akan berlarutan sepanjang hayat, saya sangat bersimpati dengan mereka,” kata Leow.
Menurutnya untuk kes-kes seperti itu, pertama sekali beliau akan menghubungi saudara-mara sekiranya mereka mahu menjaga anak-anak yatim ini. Beliau juga turut mendapatkan maklum balas daripada anak-anak berkenaan.
“Setakat ini, saudara mara mereka setuju untuk menjaga anak-anak ini, namun selepas mereka diserahkan, kami tetap akan terus pantau mereka,” kata Leow.

Beliau berkata kebanyakan jangkitan dalam keluarga disebarkan oleh ibu bapa dari tempat kerja.
“Hulu Selangor ialah kawasan terpencil, namun kebanyakan golongan pertengahan tinggal di sini dan bekerja di Kuala Lumpur.
“Mereka akan berulang alik ke Kuala Lumpur setiap hari. Kuala Lumpur merupakan kawasan berisiko tinggi, jadi virus dibawa balik secara langsung, menyebabkan kes sporadik di sini,” kata Leow.
Beliau turut mengaitkan penularan virus itu kerana kurang kesedaran dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat umum.
“Apabila kami menghantar bekalan kepada mereka yang menjalani kuarantin di rumah, kami dapati mereka seolah-olah satu keluarga yang sedang dikuarantin.
“Pernah saya tanya satu keluarga siapa yang dikuantin, dan si ibu menuding kepada anak lelakinya.
“Anak lelakinya tidak memakai pelitup muka ketika itu dan duduk makan semeja bersama ahli keluarga yang lain,” katanya.
Leow berkata ada yang percaya ia bukan satu kesalahan selagi mereka tidak keluar rumah.
“Kerana sikap inilah, kita dapat lihat kes jangkitan yang menular dari ibu bapa kepada anak-anak mereka, atau dari anak dewasa kepada ibu bapa yang sudah tua,” kata Leow.
Kes jangkitan keluarga yang tinggi
Adun Teratai Bryan Lai Wai Chong berkata beliau menguruskan satu kes membabitkan sepasang suami isteri dan anak mereka yang positif Covid-19 dua bulan lalu di kawasannya yang bersempadan dengan Kuala Lumpur.
Pasangan tersebut meninggal dunia baru-baru ini, menyebabkan anak mereka yang berusia 17 tahun yatim piatu.
Difahamkan mereka sekeluarga mendapat jangkitan dari si bapa yang mengusahakan kedai dobi. Mereka sekeluarga dimasukkan ke hospital tetapi hanya lelaki itu yang dirawat di unit rawatan rapi dan meninggal dunia di sana.
Isteri pula meninggal dunia tidak lama kemudian selepas dibenarkan keluar hospital akibat komplikasi jangkitan.
“Saya bantu remaja terbabit uruskan hal ehwal pengebumian ibu bapanya. Selepas itu, dia balik ke kampungnya di Kulai, Johor,” kata Lai.

Beliau turut berkongsikan kisah yang berlaku beberapa hari lalu, melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun yang meminta bantuan selepas kematian ibu akibat Covid-19.
Bapa kanak-kanak berkenaan turut dijangkiti dan kandungan oksigen dalam darahnya rendah, kata Lai.
“Dia sepatutnya dimasukkan ke wad tetapi hospital tidak terima.
“Apa yang saya boleh lakukan ialah menghantar tabung oksigen. Bapa kanak-kanak itu akhirnya pulih.”
Menurut Lai, sejak April lalu lebih 50% permohonan bantuan yang diterimanya adalah berkaitan jangkitan Covid-19 membabitkan ahli keluarga. Katanya, kematian akibat Covid-19 berlaku sangat pantas.
“Sekarang kita dengar orang boleh meninggal dalam masa lima hari selepas dijangkiti.
“Saya bimbang adakah virus sudah bermutasi menjadi lebih serius,” kata Lai.
Elak aktiviti sosial
Bukan wakil rakyat sahaja yang berdepan trauma melibatkan kanak-kanak.
Ahli Majlis Perbandaran Klang Lee Fu Haw berkata beliau telah mengendalikan lebih lima kes serupa sejak dua bulan lalu.
Ini termasuk pasangan adik beradik berusia 16 dan 21 tahun yang menjadi yatim piatu.
Ada juga tragedi yang melibatkan lapan sekeluarga positif Covid-19, dan kesemua mereka meninggal dunia.
“Selepas mendengar kes sebegitu, pasukan disinfeksi akan dihantar untuk melakukan kerja membasmi kuman di rumah dan membantu mendaftar kematian ahli keluarga yang memerlukan.
“Pasukan ini juga akan memberikan bantuan yang diperlukan kepada kanak-kanak terlibat,” katanya.
Walaupun kerajaan melonggarkan beberapa sekatan termasuk untuk makan di premis, beliau menggesa orang awam agar berfikir dua kali sebelum melakukan aktiviti sosial.
Ketika ini, masih banyak kes jangkitan serius melibatkan keluarga, kata Lee.
Dengan kes kematian Covid-19 terus meningkat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berjanji untuk membantu anak yatim, termasuk menyediakan kaunseling.
Malaysia kini hampir merekodkan 15,000 kes kematian akibat Covid-19. – 26 Ogos, 2021.
Komen