Dua cedera dalam serangan asid di stesen tren Tokyo


Dua individu mengalami luka kesan terbakar selepas disembur asid di stesen tren bawah tanah Shirokane Takanawa di Tokyo pada Selasa malam, dengan suspek masih lagi bebas, kata polis dan media tempatan hari ini. – Gambar EPA, 25 Ogos, 2021.

DUA individu mengalami luka terbakar dalam serangan asid di stesen tren bawah tanah Tokyo dengan pelaku masih bebas, kata polis dan media tempatan pada Rabu.

Serangan itu berlaku di stesen Shirokane Takanawa di Tokyo pada Selasa malam, ketika upacara pembukaan Paralimpik diadakan di bawah kawalan ketat di ibu kota.

Salah seorang mangsa, peniaga berusia 22 tahun, mengalami luka terbakar di mukanya setelah suspek menyemburkan cecair ke arahnya di eskalator, kata jurucakap polis kepada AFP.

Penyiar awam NHK berkata lelaki itu cedera parah disebabkan cecair itu, yang dikenal pasti sebagai asid sulfurik.

Seorang wanita berusia 34 tahun juga terkena dan dilaporkan mengalami luka bakar kecil di kakinya.

Suspek berusia pertengahan itu kini masih bebas, kata polis yang sedang menjalankan siasatan mencari pesalah itu.

Jenayah seperti itu jarang terjadi di Jepun, yang mempunyai undang-undang ketat, walaupun ada serangan melibatkan senjata lain.

Semasa Temasya Olimpik pada awal Ogos, 10 orang cedera - salah seorangnya parah - akibat serangan tikam dalam sebuah komuter di Tokyo. 

Suspek kemudian menyerahkan diri selepas melarikan diri dari tempat kejadian.

Kira-kira 60,000 pegawai polis dikerahkan untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik, menurut media Jepun. – AFP, 25 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen