SYARIKAT pembuatan pesawat Amerika Syarikat, Boeing mengumumkan bakal membuka cawangan pertamanya di Vietnam dan di Jakarta, Indonesia, dalam usaha melebarkan sayap di Asia Tenggara, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
“Pembukaan cawangan itu akan memacu objektif pertumbuhan perkhidmatan pesawat komersial, pertahanan dan perniagaan,” menurut Boeing dalam satu kenyataan bertarikh 23 Ogos.
Boeing turut mengumumkan pelantikan Alexander Feldman sebagai presiden baharu syarikatnya di Asia Tenggara.
Sebelum ini, Feldman pernah menjadi presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Perniagaan AS-Asean (US-ABC) selama lebih 12 tahun.
“Saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Boeing. Asia Tenggara bakal menjadi pusat pertumbuhan Boeing serta bakal menyediakan peluang pekerjaan bagi rakyat Amerika dan rantau ini,” tambahnya. – Bernama, 25 Ogos, 2021.
Komen