Bursa lonjak tinggi, namun banyak lagi perlu dibuat, kata Najib


Raevathi Supramaniam

Keyakinan dan pemulihan ekonomi pelabur bergantung pada kerajaan baharu yang akan ditadbir oleh Ismail Sabri Yaakob selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan 16 Ogos lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2021.

BURSA Malaysia kembali pulih dan mencatat prestasi antara terbaik dalam dunia selepas adanya kerajaan baharu, kata Najib Razak.

Beliau berkata, sejak Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos, indeks BSKL-FTSE naik 80 mata dalam masa kurang dua minggu.

Najib bagaimanapun berkata, keyakinan dan pemulihan ekonomi pelabur bergantung pada beberapa faktor seperti menurunkan jumlah jangkitan Covid-19.

“Keyakinan pelabur dan pemulihan ekonomi ketika ini akan terbantut sekiranya kita tidak menurunkan jumlah kes baharu Covid-19 dan membuka semula ekonomi.

“Peniaga juga perlu dibantu untuk memulihkan modal dan aliran tunai yang telah lama terkesan di bawah lockdown yang sudah 3 1/2 bulan lamanya sejak PKP 3.0 bermula pada 12 Mei,” katanya di Facebook hari ini. 

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Malaysia masih merupakan salah satu daripada 10 negara teratas di dunia dengan jumlah jangkitan harian tertinggi.

“Selagi kes baharu tinggi, ramai pelabur asing dan tempatan akan tidak berani melabur untuk membina business baharu atau mengembangkan business sedia ada jikapun diberi kelonggaran,” katanya.

Beliau menambah, kepemimpinan Ismail Sabri Yaakob akan mengembalikan  kesejahteraan dan keselesaan hidup rakyat seperti dahulu.

Sehingga kini, terdapat 262,713 kes aktif Covid-19 di seluruh negara. Kes harian meningkat melebihi lima angkat apabila sebanyak 20,837 jangkitan dilaporkan semalam.

Sejak 25 Julai, terdapat lebih 1,000 pesakit setiap hari di ICU. Angka kematian kini berjumlah 14,553 orang.

Sehingga kini, 58% (13,580,934) populasi dewasa sudah menerima dos kedua mereka sementara 79.6% (18,631,593) sudah menerima dos pertama. – 25 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen