SEKURANG-KURANGNYA 13 orang maut di Andes Venezuela selepas hujan lebat mengabitkan banjir lumpur dan runtuhan batu, kata pihak berkuasa tempatan hari ini.
Runtuhan batu di lereng gunung menyebabkan laluan terhalang.
Seramai 11 penduduk di Kampung Tovar termasuk dua kanak-kanak meninggal dunia di Pinto Salinas, kata gabenor Merida, Ramon Guevara.
Gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan aliran air yang membawa kenderaan menyusuri jalan di Tovar.
Guevara berkata sungai Mocoties melimpahi tebing dan membanjiri Tovar yang terputus bekalan elektrik dan telefon. Jalan masuk ke bandar juga disekat.
“Ini situasi yang dramatik, menyedihkan dan terdesak. Tidak mudah untuk hilang segalanya, lebih buruk lagi kehilangan ahli keluarga,” kata Jesus Quintera, seorang wartawan kepada AFP.
Pada tahun ini, seramai 41 penduduk maut dan 52 hilang selepas hujan lebat melanda Merida.
Hujan lebat juga menjejaskan bahagian lain di Venezuela termasuk ibu kota Caracas.
Institut meteorologi juga memberi amaran bahawa enam sungai mungkin melimpahi tebing dengan tiga negeri, Bolivar, Guarico dan Zulia diletakkan di bawah amaran merah. – AFP, 25 Ogos, 2021.
Komen