Pesakit kuarantin rumah umpama bom jangka, kata pakar


Bernard Saw

Pakar kesihatan berkata ada pesakit yang tidak kemas kini status kesihatan mereka di MySejahtera, dan ini menyusahkan pegawai kesihatan mengenal pasti, malah jika keadaan mereka bertambah teruk pesakit susah menerima rawatan segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2021.

PEGAWAI kesihatan perlu beri perhatian kepada pesakit Covid-19 yang kuarantin di rumah jika keadaan mereka bertambah buruk secara tiba-tiba atau menjangkiti orang lain, kata pakar kesihatan.

Pegawai kesihatan juga perlu beri perhatian kepada mereka yang tidak kemas kini status kesihatan mereka dalam MySejahtera.

Keprihatinan ini timbul berikutan dasar kerajaan yang menetapkan pesakit Covid-19 tidak kritikal kuarantin di rumah demi mengurangkan beban sistem kesihatan selain memberi kemudahan kepada pesakit yang lebih teruk.

Profesor Dr Moy Foong Ming dari Pusat Amalan Berasaskan Epidemiologi dan Bukti Universiti Malaya berkata terdapat kes di mana pesakit yang kuarantin di rumah tidak melaporkan keadaan mereka kepada jabatan kesihatan.

Ada juga kes di mana individu positif Covid-19 memilih untuk tidak melaporkan sama sekali, katanya.

“Kita tidak tahu berapa ramai orang ini dan saya bimbang mereka akan jadi bom jangka.

“Jika mereka tidak lapor diri secara berkala melalui aplikasi MySejahtera, pegawai tidak akan dapat tahu keadaan sebenar.

“Jika keadaan mereka tiba-tiba teruk, individu yang tidak bergejala ini susah hendak dapat bantuan secepat mungkin,” kata Moy.

Kementerian Kesihatan mendapati kira-kira 50 peratus pesakit yang kuarantin di rumah tidak kemas kini status mereka dalam aplikasi MySejahtera, katanya. Ini membahayakan jika keadaan mereka tiba-tiba bertambah teruk.

Moy turut memberitahu The Malaysian Insight beberapa pesakit Covid-19 mungkin menjangkiti orang lain apabila mereka menamatkan kuarantin mereka lebih awal dari sepatutnya.

Ini juga disebabkan oleh sikap tidak melaporkan status kesihatan di aplikasi supaya pihak berkuasa kesihatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) mengesan dan beri nasihat kepada mereka.

Mengulas perkara itu, Moy berkata pesakit tidak bergejala yang kuarantin di rumah boleh secara tiba-tiba ada gejala.

Jika mereka lapor gejala, mereka akan dinasihatkan mula semula tempoh kuarantin 10 hari mereka.

“Jika anda tidak tahu perkara ini dan masih ikut kuarantin 10 hari yang asal, maka anda akan tamat kuarantin terlalu awal,” kata Moy.

Bekas timbalan menteri kesihatan Lee Boon Chye berkata kerajaan menumpukan vaksinasi sebagai fokus utama sedangkan Putrajaya juga perlu fikirkan strategi lain.

Beliau mengulangi gesaannya membuat pengesanan kontak yang lebih jitu selain memberi memberi mandat untuk mengawal atau menyekat individu walaupun sudah divaksinasi.

Setakat ini kerajaan lebih mengutamakan vaksinasi supaya dapat buka semula sektor ekonomi secepat mungkin. Ini berfungsi untuk kurangkan pesakit serius dan kematian, tetapi kes baharu akan tetap tinggi.

“Pengesanan kontak diperlukan. Kontak rapat perlu dikuarantin bagi memastikan tidak ada lagi risiko jangkitan. Perlu ada tenaga kerja untuk buat,” kata Dr Lee.

Pakar Virologi UPM Dr Chee Hui Yee mencadangkan nilai ambang kitaran atau nilai CT dimasukkan sebagai indikator untuk memutuskan sama ada kuarantin pesakit Covid-19 ditamatkan atau dilanjutkan.

Beliau berkata jika nilai CT pesakit rendah, itu bermakna jumlah virus dalam tubuh tinggi, dan lebih banyak masa diperlukan untuk melawannya.

Dr Chee berkata seorang rakannya telah dikuarantin selama 21 hari kerana nilai CT-nya lambat naik. Walaupun setelah 14 hari kuarantin, nilai CT-nya masih rendah, yang bermaksud beban jangkitannya tinggi.

“Jadi saya tidak boleh cakap yang kuarantin 14 hari selamat,” katanya.

Tambah Dr Chee hanya ujian RT-PCR yang dapat menunjukkan beban jangkitan pesakit itu pulih atau tidak.

“Sekarang ramai guna alat ujian kendiri di rumah tetapi keputusannya sebenarnya dipengaruhi oleh cara anda kumpul sampel anda dan sama ada anda guna kit dengan betul atau tidak.

“Jadi saya tetap syorkan pergi ke klinik dan dapatkan ujian saringan RTK-Ag profesional,” katanya.

Oleh itu beliau juga menasihati pesakit yang kuarantin di rumah untuk menjalani pemeriksaan RT-PCR kedua di penghujung hari kuarantin mereka. – 25 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen