Pakar ekonomi gesa kerajaan bantu perniagaan, kembalikan keyakinan pelabur


Ragananthini Vethasalam

Kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu membantu pulihkan perniagaan dan mengembalikan keyakinan pelabur asing berikutan perintah kawalan pergerakan yang berlanjutan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2021.  

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu fokus membantu perniagaan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlanjutan dan menanamkan keyakinan kepada pelabur asing, kata ahli ekonomi.

Mereka juga perlu menumpukan pada pembentangan Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12.

Ketua Penyelidikan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Dr Shankaran Nambiar memberitahu The Malaysian Insight bahawa Ismail Sabri juga harus memastikan momentum vaksinasi dikekalkan.

“Dengan usaha vaksinasi yang berkesan, saya menjangkakan jumlah kes Covid-19 akan mulai menurun. Oleh itu, perdana menteri mesti mengekalkan momentum.

“Seiring dengan kes yang menurun, harus ada pembukaan yang teliti. Usaha harus dilakukan bagi menyokong pemulihan perniagaan yang mungkin gagal atau hampir gagal memandangkan siri penutupan tahun lalu dan setengah tahun,” katanya.

Nambiar berkata, langkah-langkah khas harus dibuat terhadap sektor-sektor yang paling terkesan akibat wabak itu seperti sektor perdagangan borong dan runcit, pelancongan, perjalanan dan perhotelan.

“Agensi pekerjaan dan penempatan pekerja perlu ditubuhkan bagi membantu pekerja mencari pekerjaan,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan juga harus mengambil langkah-langkah untuk menghidupkan kembali keyakinan pelabur asing.

“Lebih dari sekadar menghasilkan satu set ukuran tarif baharu untuk mendapatkan kepercayaan, kerajaan harus berusaha mengurangkan halangan terhadap perniagaan. Usaha untuk memperkemaskan insentif harus dikaji semula,” katanya.

Beliau menambah bahawa perhatian yang teliti juga harus diberikan pada dasar fiskal dalam beberapa bulan mendatang, oleh itu Belanjawan 2022 akan menjadi titik fokus. – 25 Ogos, 2021.  

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen