Kes Fahmi Reza hina Raja Permaisuri Agong digugur


Jabatan Siasatan Jenayah Bukit mengesahkan kes pereka grafik Fahmi Redza berhubung dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong digugurkan dan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2021.

KES hasutan membabitkan pereka grafik dan aktivis Fahmi Reza berhubung dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong digugurkan dan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Fahmi menerusi catatan di Facebook hari ini berkata polis memaklumkan kerta siasatan kes itu tidak akan dibawa ke mahkamah, selepas dirujuk ke Pejabat Peguam Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan mengesahkan kes Fahmi Redza digugurkan.

“Disahkan kes telah di NFA,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada 23 April lalu, Fahmi ditahan selepas memuat naik sekeping gambar Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berserta pautan ke laman Spotify yang mengandungi senarai 100 lagu dengan tajuk  “This Is Dengki Ke”.

Gambar Raja Permaisuri diletak sebagai gambar utama dalam senarai lagu Spotify Fahmi dan dikongsikan oleh pereka grafik itu dalam media sosialnya.

Tindakannya itu dipercayai merujuk kepada jawapan “Dengki ke” Raja Permaisuri dalam komen Instagram yang bertanya apakah cef di istana juga mendapat suntikan vaksin tanpa ikut giliran seperti keluarga diraja yang lain, berdasarkan laporan Asia Sentinel. Fahmi dibebaskan selepas direman sehari.

Perkembangan terbaharu hari ini disifatkan Fahmi sebagai satu kemenangan kecil.

“Satu kemenangan kecil untuk kebebasan bersuara, kebebasan berekspresi dan kebebasan bersatira!

“Kepada ahli Parlimen PAS yang buat laporan polis terhadap aku sebab karya satira #DengkiKe hari tu, mohon jangan koyak. Lain kali jangan sibuk jadi kaki repot polis, dan hormati kebebasan rakyat untuk berekspresi,” tulisnya di Facebook hari ini.

Fahmi merujuk kepada Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari yang membuat laporan polis terhadapnya pada 21 April atas dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong.– 24 Ogos, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen