NEGARA komunis China pada Selasa mengutuk pengunduran caca merba Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan sebagai contoh dasar luar negeri yang pentingkan diri sendiri.
Beijing turut menyelar tuduhan Naib Presiden Kamala Harris berhubung tuntutan China di perairan Laut China Selatan.
Dalam lawatannya ke Singapura awal hari ini, Harris mengkritik Beijing yang membuat tuntutan terhadap majoriti besar Laut China Selatan ketika beliau cuba meyakinkan sekutu rantau Indo-Pasifik tentang komitmen AS di Asia.
Jurucakap kementerian luar China Wang Wenbin membidas dakwaan Harris itu dengan menuduh AS berselindung di sebalik retorik peraturan global bagi mempertahankan sikap membuli dan hegemoninya.
“Kejadian terkini di Afghanistan dengan jelas memberitahu kita apa maksud peraturan dan perintah yang AS katakan,” katanya dalam sidang media hari ini.
“AS secara sengaja buat campur tangan tentera di negara yang berdaulat dan tidak bertanggungjawab atas penderitaan rakyat di negara itu,” kata Wang.
“Bagi mempertahankan ‘Amerika first’, AS boleh dengan sewenang-wenangnya memeras, menekan, memaksa dan menggertak negara lain,” tambahnya.
“Inilah peraturan dan perintah yang AS mahukan… tetapi siapa yang akan percaya sekarang?” – AFP, 24 Ogos, 2021.
Komen