LANGKAH perintah berkurung Covid-19 yang dikenakan di Afrika Selatan menghalang remaja perempuan untuk mendapatkan alat pencegahan kehamilan dan menggugurkan kandungan menyebabkan kes remaja hamil di negara itu melonjak, kata Save the Children hari ini.
Bilangan anak yang dilahirkan oleh remaja di Gauteng, wilayah terpadat di Afrika Selatan meningkat sekurang-kurangnya 60 peratus sejak wabak berkenaan, kata badan amal itu dalam satu kenyataan dengan menyatakan bahawa lebih 930 remaja berkenaan berusia di bawah 14 tahun.
Klinik yang sesak, penutupan sekolah dan perintah duduk di rumah dikuatkuasakan sejak Covid-19 melanda Afrika Selatan pada Mac 2020 menyukarkan remaja berkenaan mendapatkan perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif.
Lebih 23,000 kanak-kanak perempuan berusia di bawah 18 tahun melahirkan di Gauteng antara April 2020 dan Mac 2021, menurut angka kerajaan yang dikumpulkan oleh Save the Children, berbanding 14,577 kanak-kanak perempuan berusia 19 tahun ke bawah dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Ibu-ibu golongan remaja ini sering berdepan stigma mendorong anak mereka berhenti sekolah dan berkahwin pada usia muda. Anak mereka juga mempunyai kadar kelangsungan hidup yang lebih rendah dan cenderung untuk diabaikan, menambah kos sosial dan ekonomi.
Badan amal itu mendesak kerajaan membuka kembali sekatan terhadap akses perkhidmatan berkenaan dan meminta keluarga, agama dan pemimpin tradisional untuk menyokong hak remaja untuk kesihatan reproduktif.
Kemudahan kesihatan Afrika Selatan sedang bergelut dengan gelombang ketiga jangkitan koronavirus dan sekatan pergerakan separa yang masih dikuatkuasakan.
Gauteng mempunyai lebih 15 juta penduduk – seperempat penduduk Afrika Selatan – dan merangkumi ibu kota pentadbiran Pretoria dan pusat kewangan Johannesburg. – AFP, 24 Ogos, 2021.
Komen