Wanita rugi RM5,350 ditipu individu menyamar majikan, kata polis


NIAT ingin membantu majikan membawa padah apabila seorang pekerja am di Port Dickson kerugian RM5,350 selepas terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai majikannya menerusi aplikasi WhatsApp, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata wanita berusia 49 tahun itu mendakwa menerima pesanan WhatsApp daripada nombor tidak dikenali kononnya adalah majikannya dengan memaklumkan bahawa nombor telefon itu merupakan nombor baharu kerana telefon lama mengalami masalah.

“Individu terbabit kemudian meminta bantuan daripada mangsa untuk memasukkan wang ke dalam akaun sepupunya dan berjanji akan membuat pembayaran semula pada keesokan harinya.

“Akibat percaya, mangsa dengan niat mahu menolong majikannya itu terus melakukan dua transaksi ke dalam satu akaun bank tempatan pada hari berkenaan dengan jumlah keseluruhan RM5,350,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata selepas selesai melakukan transaksi, mangsa sekali lagi diminta memasukkan wang namun dia berasa curiga lalu bertindak menghubungi nombor asal majikannya.

Beliau berkata majikan wanita itu menafikan mengenai meminta bantuan itu lalu wanita itu yang menyedari ditipu membuat laporan polis pada hari sama.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan orang ramai dinasihati supaya tidak mudah percaya dengan mana-mana individu yang menggunakan aplikasi dalam talian untuk meminjam wang selain semak terlebih dahulu kesahihan identiti individu tersebut sebelum membuat apa-apa transaksi. – Bernama, 24 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen