FDA lulus penggunaan vaksin Pfizer


Presiden Joe Biden gesa individu yang belum divaksinasi segera mendapatkan suntikan di tengah-tengah penularan varian Delta susulan FDA lulus penggunaan vaksin Pfizer. – Gambar EPA, 24 Ogos, 2021.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menggesa individu yang belum divaksinasi untuk segera mendapatkan suntikan di tengah-tengah penularan varian Delta.

Biden berkata demikian selepas Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) memberikan kelulusan penuh terhadap vaksin Pfizer, lapor Xinhua.

“Jadi, biar saya katakan dengan jelas: Jika anda antara satu daripada berjuta rakyat AS yang sebelum ini tidak mahu disuntik selagi tidak mendapat kelulusan penuh FDA, sekarang saat dinanti sudah tiba.

“Inilah masanya untuk anda divaksinasi dan dapatkannya hari ini,” kata Biden.

Sejak beberapa minggu lalu, pentadbiran Biden melancarkan keperluan vaksin dalam kalangan pekerja persekutuan, anggota tentera, kemudahan perubatan persekutuan dan pekerja rumah penjagaan.

Sehingga Ahad, 51.5% daripada jumlah penduduk AS lengkap divaksin, menurut data CDC. – Bernama, 24 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen