PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden isytihar bencana besar di Tennessee selain meluluskan dana persekutuan setelah banjir besar pada hujung minggu menyebabkan sekurang-kurangnya 21 orang maut, kata Rumah Putih dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Sabtu Tennessee dilanda oleh apa yang disebut ahli meteorologi sebagai ribut bersejarah dan banjir, dengan hujan sebanyak 17 inci (38 sentimeter).
Jalan luar bandar, lebuh raya negeri, jambatan dan beratus-ratus kediaman musnah malah ribuan orang terputus bekalan elektrik.
Langkah itu menjadikan dana persekutuan tersedia untuk orang yang terjejas di Humphreys County, di mana hujan pada Sabtu memecahkan rekod hujan selama 24 jam di Tennessee, kata Perkhidmatan Cuaca Nasional.
Bantuan kepada penduduk merangkumi “perumahan sementara dan pembaikan rumah”, serta “pinjaman kos rendah untuk menampung kerugian harta benda yang tidak diinsuranskan”, kata Rumah Putih.
Banjir adalah fenomena semula jadi, tetapi perubahan iklim mengubah pola hujan bumi, menjadikan beberapa wilayah lebih basah dan yang lain lebih kering.
Para saintis berkata perubahan iklim semakin meningkatkan risiko hujan lebat di seluruh dunia, kerana suasana yang lebih suam menampung lebih banyak air.
Menurut kajian antarabangsa yang diterbitkan pada Selasa, perubahan iklim punca banjir ganas yang melanda sebahagian Jerman dan Belgium bulan lalu. – AFP, 24 Ogos, 2021.
Komen