PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob dikritik hebat di media sosial berikutan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika mempengerusikan mesyuarat bersama pemimpin Umno dalam ruang sesak.
Pengguna Twitter LaFarEast berkongsi gambar menunjukkan Ismail Sabri dan para pemimpin Umno seperti ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman yang tidak menjaga penjarakkan sosial sementara beberapa ahli Parlimen lain dilihat tidak memakai pelitup muka.
Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran juga turut mengulas gambar, mengkritik perdana menteri baharu kerana terang-terangan mengabaikan SOP.
“Kerajaan baharu? Sama juga tidak hiraukan SOP,” katanya dalam ciapan di Twitter.
Gambar itu dipercayai diambil di Kedah semalam, ketika Ismail Sabri membuat lawatan pertamanya sebagai perdana menteri ke Yan dan Kuala Muda yang terjejas teruk akibat limpahan air dari Gunung Jerai.
Berikutan itu beberapa gambar perjalanannya tular di media sosial yang menarik perhatian warganet dan ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir turut berkongsi gambar Ismail Sabri dan beberapa ahli Parlimen dalam jet milik kerajaan.
“Sementara kita hargai dengan peruntukan yang disalurkan bagi membaiki kerosakan dan membantu mangsa-mangsa banjir, namun lawatan beliau semalam seolah-olah tidak memahami derita dan kesengsaraan mangsa-mangsa bencana.
“Tidak hairan apabila terdapat pandangan netizen di laman media sosial yang menganggap ini sebagai lawatan sambil belajar yang merugikan tanpa menghiraukan kesukaran rakyat.
“Selain itu apakah keperluan didirikan sebuah billboard besar yang tertera ayat ‘Selamat Datang dan Tahniah YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9’ di tengah-tengah kawasan bencana?
“Adakah ini program ‘gimik’ untuk beliau memperkenalkan diri kepada mangsa-mangsa bencana yang masih menanggung beban musibah bahawa beliau adalah Perdana Menteri Malaysia yang baharu?” kata Akmal dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah pemimpin Angkatan Muda Keadilan PKR itu, rombongan Ismail terdiri dengan lebih 50 buah kenderaan.
Ismail Sabri ke Kedah sebagai lawatan pertamanya selepas mengangkat sumpah jawatan perdana menteri di Istana Negara pada Sabtu.
Setakat ini limpahan air dari Gunung Jerai, Kedah itu telah meragut lima nyawa sementara seorang lagi mangsa masih belum ditemui.
Kira-kira 800 buah rumah di Yan dan 200 lagi di Kuala Muda turut terjejas akibat bencana tersebut. – 24 Ogos, 2021.
Komen