Kurang permintaan di PPV bukan alasan hentikan vaksinasi, kata wakil rakyat DAP 


Ribuan warga asing membanjiri pusat pemberian vaksin Stadium Nasional Bukit Jalil untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 Ogos, 2021.

PENURUNAN permintaan di beberapa pusat penerimaan vaksin (PPV) di Lembah Klang bukan alasan untuk memghentikan program vaksinasi Covid-19 kepada orang awam menerusi pengamal perubatan klinik, kata Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran.

Menyifatkan tindakan itu sebagai langkah yang dangkal, Rajiv berkata ia menyebabkan kesesakan di PPV Dewan MBPJ di kawasannya yang menerima vaksinasi tanpa temu janji.

“Penduduk Bukit Gasing membangkitkan kebimbangan mereka berhubung isu ini dan takut ia mungkin akan menyebabkan penularan. Kebimbangan ini adalah benar terutamanya apabila orang ramai beratur untuk mendapatkan vaksin dari seluruh Lembah Klang,”  katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan membenarkan 300 klinik swasta terus menyediakan vaksin Covid-19 di bawah program kebangsaan, rakyat tidak perlu beratur panjang selama berjam-jam untuk mendapatkan suntikan. 

“300 klinik vs 13 PPV mega? 300 klinik akan menjadikan vaksinasi lebih mudah.

“Dalam menyasarkan untuk vaksinasi, jadikan ia lebih mudah dan dekat dan jangan biarkan penularan menjadi lebih buruk dengan membiarkan mereka bersesak.

“Keputusan kerajaan untuk memusatkan operasi kepada hanya beberapa PPV (tanpa temu janji) adalah berpandukan data yang salah dan satu tindakan dangkal,” katanya.

Malaysiakini dalam laporannya baru-baru ini menyebut 20 PPV di seluruh Selangor akan ditutup kerana sebahagian besar penduduk sudah menerima vaksin penuh dan permintaan untuk vaksin dijangka akan menurun. Temu janji yang sedia akan akan dipindahkan ke pusat yang masih dibuka. 

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga berkata PPV di Lembah Klang akan ditutup secara berperingkat kerana hampir mencapai sasaran vaksinasi. 

Sebagai sebahagian daripada langkah pengurangan, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 berkata mulai 23 Ogos, vaksinasi tanpa temu janji untuk rakyat Malaysia yang tinggal di Lembah Klang akan terhad kepada 13 PPV sahaja.

“Saya menggesa agar semua klinik swasta dibenarkan untuk memberi vaksin, terutamanya kerana mereka lebih dekat dengan rakyat dan rakyat tidak perlu berjalan jauh untuk menerima suntikan mereka,” tambah Rajiv.  – 24 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen