BEBERAPA pistol milik ketua mafia terkenal dalam sejarah jenayah Amerika Syarikat (AS), Al Capone akan dilelong di California.
Pistol kegemaran penjenayah itu iaitu .45 Colt automatik antara barangan akan dilelong selain foto lama, surat ditulis kepada anaknya dari penjara Alcatraz, dan katilnya bersama isteri di rumah agam mereka di Florida.
Sebanyak 174 barangan disenaraikan untuk dijual bulan depan di bawah tajuk “Sedekad Jenayah: Harta Milik Al Capone”, yang disifatkan pelelong sebagai antara lelongan selebriti paling bersejarah.
Capone antara penjenayah paling digeruni dalam sejarah jenayah terancang ketika “Era Larangan” iaitu zaman ketika jualan dan pembuatan minuman alkohol diharamkan di AS.
Dia adalah bos Chicago Outfit, kumpulan yang berjaya menumpaskan semua saingannya dalam penghasilan arak haram pada 1920-an selain melakukan pemerasan menggunakan kekerasan.
Kekejaman mereka turut menyaksikan “Pembunuhan Hari St Valentine” pada 1929, di mana tujuh anggota kumpulan musuh mereka dibunuh.
Namun, Capone tidak pernah didapati bersalah atas sebarang tuduhan jenayah kerana tiada siapa yang berani memberi keterangan terhadapnya dan dia dikatakan merasuah pihak berkuasa serta badan kehakiman.
Bagaimanapun, dia didapati bersalah kerana mengelak membayar cukai pendapatan, yang menyaksikannya meringkuk di penjara Alcatraz, San Francisco.
Acara lelong pada 8 Oktober di Sacramento itu menganggarkan pistol .45 Colt automatik itu mampu meraih bidaan sehingga AS$150,000 (RM630,000) manakala sepucuk lagi pistol mungkin mencecah AS$60,000 (RM253,000).
Barangan lelong lain termasuk jam saku platinum bertatahkan berlian jenama Patek Philippe, daripada koleksi yang diwasiatkan kepada anak tunggal lelaki Al dan Mae Capone, Sonny.
Ia kini dimiliki Diane dan Barbara Capone, cucu perempuan Al Capone. – AFP, 24 Ogos, 2021.
Komen