3 sebab Azalina Othman Said letak jawatan timbalan yang di-Pertua


SAYA bersyukur kerana diberi penghormatan sebagai timbalan yang di-Pertua Dewan Rakyat. Saya sudah berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan tugas dengan setia dan tidak berat sebelah.

Walaupun begitu, sebagai manusia saya tidak terlepas daripada sebarang kelemahan dan kekurangan, dan dengan itu, saya dengan tulus meminta maaf kepada rakan-rakan di Parlimen dan seluruh rakyat Malaysia.

Bagi mengurangkan spekulasi orang ramai mengenai peletakan jawatan saya pada 23 Ogos, 2021 dan juga untuk menyangkal pelbagai versi barisan Kabinet palsu yang tular di media sosial, saya ingin menyatakan sebab kenapa saya mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai timbalan yang di-Pertua Dewan Rakyat.

1) Kapasiti moral peribadi sebagai timbalan yang di-Pertua

Dalam menjalankan tugas sebagai timbalan yang di-Pertua, timbulnya konflik peranan dan tanggungjawab sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno yang juga menyandang kedudukan sebagai ahli Parlimen dalam sebuah kerajaan campuran.

Peristiwa baru-baru ini membuktikan ada keputusan berlandaskan pendirian parti yang bertentangan dengan keputusan diharapkan sebagai ahli Parlimen yang mewakili kerajaan campuran.

Sebaiknya, seseorang yang dilantik sebagai yang di-Pertua atau timbalan yang di-Pertua Dewan Rakyat harus digantung daripada memegang apa-apa jawatan politik parti, bagi memastikan politik yang tidak berat sebelah.

Ini merupakan ciri penting untuk jawatan ini supaya ia dapat berfungsi dengan berkesan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

2) Tanggungjawab rasmi sebagai timbalan yang di-Pertua

Perkembangan dalam 17 bulan terakhir ini menyebabkan saya merenung kembali kekurangan institusi Parlimen dan kebatasan saya sendiri dalam  melaksanakan tugas dengan baik, tanpa menjejaskan integriti profesional saya.

Sistem nilai peribadi saya yang berkaitan dengan kedaulatan undang-undang, demokrasi berparlimen, semak dan imbang sejak Proklamasi Darurat pada Januari 2021 adalah tekal dan konsisten.

Kekecewaan dan kesukaran saya diketahui umum, dan alasannya juga diketahui. Kapasiti rasmi saya dijamin undang-undang dan prosedur, iaitu menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dengan apa cara sekali pun.

3) Keberkesanan memegang jawatan dalam menyokong integriti awam

Kurangnya perundingan dalam membuat keputusan secara bersama memberi kesan kepada prestasi saya sebagai timbalan yang di-Pertua. Merujuk kepada Peraturan Mesyuarat, seorang timbalan yang di-Pertua tidak boleh membuat keputusannya sendiri di Dewan Rakyat.

Pengambilan keputusan dan tanggungjawab bersama, tidak berat sebelah, keadilan, dan budaya saling menghormati adalah ciri penting yang saya inginkan di Parlimen Malaysia.

Dengan pelantikan perdana menteri baharu dan tuntutan awam yang jelas mahukan kerjasama rentas kepartian, saya meletakkan jawatan saya hari ini bagi mengosongkan kerusi saya supaya kerajaan dan pembangkang mempunyai lebih banyak ruang untuk membuat penetapan semula Dewan Rakyat.

Ini supaya Dewan yang mulia ini dapat benar-benar berfungsi sebagai forum persaingan profesional dan kerjasama antara antara parti mengenai polisi dan urus tadbir.

Saya akan menyokong sebarang pembaharuan yang mungkin mahu dilaksanakan kerajaan dan pembangkang mengikut kebijaksanaan kolektif mereka.

Adalah menjadi satu penghormatan yang besar untuk berkhidmat sebagai timbalan yang di-Pertua, satu jawatan yang sangat saya muliakan sepanjang 13 bulan lalu.

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakan di Parlimen dan rakyat Malaysia yang memberikan sokongan dan kritikan yang tidak ternilai, dalam usaha saya sebagai warga setia Parlimen dan negara tercinta.

“This is no time for ease and comfort …it is time to dare and endure.” – Winston Churchill. – 24 Ogos, 2021.

* Azalina Othman Said ialah ahli Parlimen Pengerang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen