PRESIDEN Tunisia Kais Saied telah melanjutkan lagi penangguhan sidang Parlimen sehingga diberitahu kelak, kata presiden dalam satu kenyataan.
Sidang Parlimen telah ditangguh lebih sebulan sebelum ini yang digelar pembangkang sebagai kudeta.
Beliau turut melanjutkan tempoh penarikan kekebalan buat para ahli Parlimen.
Saied telah mengeluarkan “keputusan presiden yang memperluas langkah-langkah luar biasa… berkaitan penggantungan Parlimen dan penarikan kekebalan ahli Parlimennya sehingga diberitahu lebih lanjut,” kata kenyataan dikeluarkan pada Isnin lalu.
Beliau akan menyampaikan perutusan itu kepada rakyat Tunisia dalam beberapa hari mendatang, tambahnya, tanpa memberikan maklumat lanjut.
Tunisia, yang dipuji sebagai kisah kejayaan demokratik yang jarang terjadi di Timur Tengah dan Afrika Utara, kini berhadapan krisis politik akibat masalah ekonomi dan pandemik Covid-19.
Campur tangan mengejut Saied pada 25 Julai, di mana beliau memecat kerajaan dan berkata akan menggantung Parlimen selama sebulan telah mencetus ketidakpastian bagi negara Afrika Utara itu.
Beliau berkata langkah-langkah itu perlu bagi mengelak negara itu runtuh.
Beliau turut menyebut kekuatan yang beliau ada yang diberikan melalui perlembagaan, namun sehingga kini beliau masih belum dedahkan lagi racangannya walaupun didesak oleh parti-parti politik.
Campur tangan itu dikecam oleh para hakim dan penentang Saied, khususnya parti Islam Ennahdha, blok terbesar di Parlimen.
Beberapa ahli politik, ahli perniagaan dan hakim, serta ahli Parlimen yang kehilangan kekebalan mereka setelah Saied menggantung badan perundangan itu berkata, mereka dilarang membuat perjalanan ke luar negeri dengan ada yang dikenakan sekatan di rumah.
Tuntutan mereka telah menimbulkan kecaman, dengan pengkritik mengecam tindakan dibuat secara suka hati dan tanpa alasan kukuh. – AFP, 24 Ogos, 2021.
Komen