-2.jpg)
BIARKANLAH Ismail Sabri Yaakob, perdana menteri Malaysia yang baru dilantik ini uruskan siapa dia hendak pilih jadi timbalan perdana menteri, siapa-siapa akan jadi menteri dalam Kabinet.
Di bawah Perkara 43 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan jelas disebut: “atas nasihat perdana menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen.”
Blok pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH) tidak perlu jadi budak nakal di dalam Parlimen ataupun di luar Parlimen mengganggu dan menggugat tak tentu hala perdana menteri yang baru saja dilantik ini.
Rakyat tak suka, semua orang tak suka. Biarkan Ismail Sabri menguruskan pentadbiran negara dengan tenteram.
Jika Perdana Menteri Ismail Sabri menghadapi asakan atau diganyang saingan politiknya daripada parti Bersatu atau lain-lain parti dalam payung besar Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN), ambil sikap, itu urusan dalam klik pemerintah sekarang.
Kalau cerita penglipur lara disebut: “Biarkan si Luncai, terjun dengan labu-labunya.”
Apa perlu buat sekarang?
Jadi apa yang PH perlu lakukan sekarang selepas terlepas peluang untuk kembali jadi kerajaan?
Jawapannya mudah saja. Tumpukan segala tenaga dan fikiran kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang dalam tempoh tak sampai dua tahun lagi.
Jangan campak Anwar Ibrahim ke bawah bas selepas dia gagal dalam persaingan menjadi perdana menteri ke-9.
PH amat memerlukannya sekarang untuk menjadi komander dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Lupakanlah segala syor dan cadangan supaya Anwar terlibat dalam kerajaan perpaduan ataupun kerjasama bi-partisan.
Kalau PH yang memimpin kerajaan, mungkin idea kerajaan perpaduan atau kerjasama bi-partisan itu masuk akal dan berfaedah.
Tetapi kalau PH sekarang ibarat seperti melukut di tepi gantang, yang tak dijemput, tak diundang, jangan sampai hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.
PH bukan satu jenama yang koyak dan kalah. PH adalah jenama politik untuk masa depan. PH hanya kurang enam undi sokongan untuk mendapatkan majoriti membentuk kerajaan persekutuan. Itu tak susah diperolehi dalam pilihan raya akan datang.
Bukan macai Anwar Ibrahim
Penting ditegaskan di sini. Saya bukan macai Anwar. Saya pengkritik lantang kepada Anwar dalam parti dan di luar parti, secara terbuka ataupun secara “one to one” secara peribadi.
Kalau tak percaya, boleh tanya Anwar sendiri. Banyak insiden saya menentangnya.
Anwar suruh ahli Parlimen pembangkang duduk, tetapi saya berdiri dalam Parlimen. Saya langgar displin. Saya langgar arahan Anwar. Saya ikut hati nurani saya sebagai seorang ahli Parlimen.
Tetapi dalam keadaan sekarang, minta maaf saya cakap, janganlah ada kawan-kawan dalam PH yang suruh Anwar letak jawatan.
Saya dengar ada cadangan minta PH pilih pemimpin lain. Mereka berhujah kononnya, Anwar sudah tak diperlukan lagi. Ini semua “nonsense”.
Cakap-cakap seperti itu datang dari Deep State, dari musuh PH yang memang hendak menghancurkan PH dan Anwar terutamanya.
Anwar sudah jadi perdana menteri hari ini jika dia tunduk terhadap tuntutan Kluster Mahkamah daripada Umno. Anwar tidak berkompromi.
“Rule of law” atau kedaulatan undang-undang mesti dipelihara, dijunjung dan dihormati. Mahkamah tidak boleh diganggu. Perjalanan proses keadilan tidak boleh dicemar. Itu sikap Anwar. Itu pendirian tegas Anwar.
Lulus ujian
Apa yang Anwar buat itu betul. Dalam keadaan krisis rebut kuasa Anwar lulus dalam ujian. Dia tidak gila kuasa. Dia tidak mabuk jawatan.
Anwar tetap mempertahankan idealisme reformasinya yang diketuainya lebih 23 tahun lalu, bukannya kilauan jawatan dan keberahian kuasa perdana menteri yang tempoh memanas kerusi tak sampai dua tahun saja dari saat ini.
Anwar memilih kepentingan rakyat dan negara pada jangka panjang bukannya kepentingan peribadinya untuk jangka pendek.
Begitu juga. Anwar sudah ada di Pejabat Perdana Menteri hari ini, kalau dia menagih sedekah sokongan GPS di Sarawak dan tunduk terhadap tekanan dengan berjanji jawatan itu dan ini.
Anwar tidak tergoda untuk meraih sokongan seperti pengemis politik. Pengerusi PH dan presiden PKR ini ada maruah, ada integriti. Dia tetap tenang dan tawakal. Anwar lulus ujian.
Pemimpin pelapis, daripada kalangan muda, pemuda dan wanita, tampillah ke depan. Pemimpin senior PH bangun dan bergerak ke saf hadapan. Tetapi usah Anwar cuba dipinggirkan.
Sekali lagi saya mohon, jangan campak Anwar ke bawah bas.
Jangan lupa
Bayangkan senario pernah terjadi. Selepas PRU13, Anwar dihumban regim Umno/BN Najib ke penjara. Pakatan Rakyat pecah dan hancur.
Lontarkanlah segala kata nista yang buruk-buruk serta fitnah seranah kepada Anwar, jika itu golongan yang membenci Anwar mahu lakukan.
Tetapi jangan lupa, orang yang bernama Anwar Ibrahim inilah yang bangun dan muncul kembali dari dalam penjara membina semula perpaduan parti-parti pembangkang sehingga PH berjaya menumbangkan Umno/BN dan Najib dalam PRU Mei 2018 lalu.
Jadi kepada Anwar, saya berharap supaya tenang dan fokus.
Ini tugas sejarah anda untuk memimpin rakyat menghadapi PRU15 akan datang supaya kita dapatkan semula mandat rakyat.
Di tanah air kita ini akan kita bangunkan sebuah negara moden yang progresif, adil dan demokratik; sebuah kerajaan rakyat untuk rakyat, semua kaum dan agama dengan berasaskan dasar keadilan untuk semua. – 24 Ogos, 2021.
* Hassan Abdul Karim ialah ahli Parlimen Pasir Gudang.
Komen