TENTERA Amerika Syarikat mengeluarkan ribuan lagi warganya menerusi lapangan terbang Kabul sejak 24 jam lalu, kata pegawai Rumah Putih, ketika Washington cuba selesaikan pemindahan warganya menjelang tarikh akhir pada 31 Ogos untuk tentera negara itu keluar dari Afghanistan.
Sejak 12 jam lalu, kira-kira 10,900 orang dikeluarkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, kata pihak berkuasa.
Jumlah orang yang dipindahkan dari Afghanistan sejak Julai menggunakan pesawat AS mencecah 53,000, dengan 48,000 daripadanya dipindahkan ketika operasi pemindahan bermula pada 14 Ogos ketika Taliban mula mara ke Kabul.
Terdahulu, jurucakap Pentagon John Kirbvy berkata mereka yang dipindahkan termasuk beberapa ribu warganegara AS, dan ribuan warga Afghanistan yang bekerja untuk tentera AS, yang memohon dan menerima visa khas dan warga Afghanistan yang berdepan risiko serangan Taliban kerana bekerja untuk badan bukan kerajaan, media dan tugas lain.
Kirby berkata tumpuan utama kekal kepada operasi pemindahan warganya sebelum tarikh akhir 31 Ogos yang ditetapkan Presiden Joe Biden untuk menamatkan pengunduran AS dari negara itu.
Ia perlu memindahkan 5,800 tentera yang mengendalikan operasi di lapangan terbang dan menjaga keselamatan sejak 14 Ogos, serta sejumlah besar peralatan yang dibawa masuk untuk kegunaan misi mereka.
Pegawai Jerman, British dan Perancis berkata pemindahan dari pihak mereka mungkin akan diteruskan selepas 31 Ogos dan berkata mereka mahu tentera AS kekal untuk membantu pemindahan itu.
Kumpulan G7 akan mengadakan pertemuan secara maya berhubung isu Afghanistan pada Selasa.
“Sama ada AS boleh dipujuk untuk kekal terpulang kepada perdana menteri (Boris Johnson) di mesyuarat G7 esok,” kata menteri pertahanan British James Heappey kepada Sky News.
Britain adalah pengerusi G7, yang jug aterdiri daripada Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun dan Amerika Syarikat. – AFP, 24 Ogos, 2021.
Komen