Israel lancar serangan udara di Gaza 


ISRAEL melancarkan serangan udara di Gaza pada Isnin, kata tentera dan sumber dalaman.

Serangan itu didakwa dilancarkan sebagai membalas serangan belon api yang dilancarkan dari Gaza.

Ia merupakan kemuncak ketegangan susulan daripada pertempuran di sempadan yang menyebabkan puluhan orang tercedera.

Setakat ini tiada kematian dilaporkan dalam serangan di Gaza City, Khan Younis di selatan dan Jabalia di utara, namun ia menyebabkan kerosakan bangunan kediaman, kata sumber keselamatan Palestin yang enggan identitinya didedahkan.

Tambahnya pejuang yang setia dengan gerakan Hamas turut melepaskan tembakan ke arah pesawat pejuang Israel.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan mengedsahkan pesawat pejuang mereka menyerang “tapak pembuatan senjata milik Hamas di Khan Younis dan juga terowong bawah tanah di Jabalia.”

“Tapak pelancaran roket bawah tanah Hamas yang terletak berhampiran kediaman orang awam dan sekolah di Shejaiya, turut diserang,” katanya dan menambah serangan itu sebagai membalas serangan belon api yang dilancarkan di kawasan Israel. – AFP, 24 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen