Golongan memerlukan terima bantuan makanan


Elill Easwaran

Salah seorang sukarelawan membungkus makanan di rumahnya untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.– Gambar The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2021.

SEKUMPULAN rakyat Malaysia mengambil inisiatif untuk memasak dan menghidangkan masakan di rumah bagi membantu masyarakat kurang bernasib baik yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Kumpulan berkenaan terdiri daripada 30 orang wanita, bekerja menerusi aplikasi WhatsApp untuk menghantar bantuan makanan di Lembah Klang.

Secara purata, mereka telah memasak dan menyajikan lebih dari 3,000 paket makanan seminggu sejak Julai untuk membantu mereka yang memerlukan.

Pengasas projek berkenaan Siamy Tan, yang merupakan arkitek berusia 54 tahun berkata, beliau memutuskan untuk memulakan program berkenaan selepas menyaksikan ramai menderita kerana hidup terjejas akibat pandemik. 

“Inisiatif ini bermula daripada kumpulan WhatsApp yang ditubuhkan untuk masak di rumah bagi berkongsikan resipi.

“Menerusi kumpulan ini, saya kemudian menjemput orang ramai sertai usaha bantuan makanan ini.

“Bagi saya, kita perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam membantu golongan kurang bernasib baik, daripada merungut,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Beliau dan suami memulakan inisiatif berkenaan pada Mei tahun ini apabila berjaya memberi makan kepada 200 orang seminggu. 

“Semakin lama, kami berjaya mendapatkan lebih ramai tukang masak di rumah untuk menyertai kami dan kami mampu sediakan lebih banyak makanan.”

Setakat ini, Siamy dan kumpulannya berjaya menyediakan lebih 22,928 makanan. 

Siamy Tan bersama sukarelawan menunggu kumpulan masyarakat sivil untuk mengambil dan mengagihkan makanan yang disediakan kumpulannya. – Gambar The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2020.

Menurutnya, kumpulan mereka menerima derma namun buat masa ini tukang masak di rumah biasanya menggunakan duit mereka sendiri untuk membeli bekalan makanan. 

Makanan di masak secara sukarela di rumah masing-masing, dan kemudian dihantar ke satu tempat yang mana kumpulan masyarakat sivil akan sedia menunggu, mengambil dan mengedarkan makanan kepada masyarakat.

Mahi Ramakrishnan dari Beyond Borders berkata penerima adalah dari kumpulan B40, yang tinggal di projek perumahan rakyat; yang dikuarantin, pekerja asing, pelarian, gelandangan dan komuniti LGBT.

“Kami hidangkan pelbagai jenis makanan termasuk satay, nasi goreng, nasi campur dengan ayam dan ikan dan lain-lain. 

“Tukang masak akan masak dan kami uruskan penghantaran dan kumpulan masyarakat sivil akan agihkan makanan. 

“Kami hantar makanan kepada pemimpin masyarakat yang bekerjasama dengan kami sejak bertahun-tahun. Pemimpin ini pakar dan tahu siapa yang memerlukan bantuan makanan,” kata Mahi. 

Pada Julai, warga emas dan golongan kurang upaya merupakan antara yang cuba meminta bantuan dengan menaikkan bendera putih ketika perintah sekatan pergerakan bagi mengekang Covid-19 dilanjutkan tanpa petanda ia akan berakhir. 

Ada yang mengatakan mereka mungkin akan bunuh diri sekiranya gerakan bendera putih tidak dimulakan di media sosial bagi membantu golongan memerlukan. 

Aktivis, penganalisis dan ahli politik berkata gerakan itu merupakan simbol kemarahan rakyat Malaysia kepada kerajaan kerana kegagalan untuk mengawal pandemik dan kekurangan strategi yang menjejaskan sumber pendapatan mereka. 

Gerakan bendera putih di media sosial bermula pada 28 Jun, sehari selepas perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan Pemulih sebnayak RM150 bilion selepas melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP), yang sudah pun dilaksanakan sebulan, untuk tempoh yang tidak diketahui, hingga mencetuskan kemarahan rakyat. 

Tidak jelas siapa yang mulakan gerakan ini namun posting di media sosial menggesa mereka yang memerlukan bantuan menaikkan bendera putih di luar rumah, dan pihak lain akan menghulurkan bantuan. – 24 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen