BEKAS menteri sosial Indonesia Juliari Peter Batubara dipenjara 12 tahun selepas disabitkan atas kesalahan rasuah yang dikaitkan dengan bantuan makanan untuk keluarga miskin terjejas akibat wabak koronavirus.
Mahkamah Jakarta menjatuhkan hukuman kepada Juliari hari ini susulan penangkapannya pada Disember dan operasi turut merampas barang bukti berupa wang tunai berjumlah hampir RM4.2 juta dalam pelbagai pecahan.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan memerintahkannya membayar denda 500 juta rupiah (AS$35,000) atau menjalani hukuman penjara enam bulan lagi,” kata hakim Muhammad Damis pada perbicaraan yang diadakan secara atas talian susulan bimbang penularan virus.
Bekas ahli politik juga diarahkan membayar ganti rugi setara sekitar AS$1 juta atau berdepan dua tahun penjara tambahan, kata mahkamah.
Beliau juga disekat dari memegang jawatan awam selama empat tahun.
Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa Juliari mengambil wang tunai daripada dua kontraktor yang disewa bagi membekalkan pakej makanan asas kepada penduduk yang dilanda krisis kesihatan.
Presiden Joko Widodo berjanji tidak akan melindungi pegawai yang korup dan menyifatkan dana yang dicuri itu adalah “wang rakyat”. – AFP, 23 Ogos, 2021.
Komen