SENARAI anggota Jemaah Menteri yang baharu akan diumum dalam minggu ini lepas dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
“Tunggu pengumuman, kalau saya umum hari ini sudah tidak saspens. Dalam minggu ini saya akan umumkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya, kepada pemberita di Yan, Kedah.
Ismail Sabri hari ini mengadakan lawatan ke Kedah meninjau kawasan yang terjejas akibat kejadian kepala air dari Gunung Jerai, minggu lalu.
Jelas perdana menteri, beliau sedang menyusun senarai Jemaah Menteri dengan mempertimbangkan dan mengambil kepentingan semua pihak.
Beliau juga meminta rakyat supaya tidak percaya senarai Jemaah Menteri yang tersebar di media sosial.
“Itu semua fake (palsu) … setiap hari ada senarai baharu… bagus juga boleh bantu saya tetapi saya nak ingatkan jangan percaya, semua itu tak betul,” katanya.
“Kerajaan Malaysia”
Pada sidang media itu, Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno seperti tidak mahu melayan pertanyaan pemberita mengenai debat dalam kalangan pemimpin Umno dan Bersatu mengenai nama kerajaannya.
Pemimpin Bersatu termasuk presidennya Muhyiddin menegaskan kerajaan ini adalah “kerajaan Perikatan Nasional” tetapi dibantah oleh beberapa pemimpin Umno.
Ismail Sabri yang ditanya mengenai perkara itu, menjawab pendek: “Kerajaan Malaysia.”
Ismail Sabri, 61, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-9 pada Sabtu, menggantikan Muhyiddin Yassin yang letak jawatan pada 16 Ogos. – 23 Ogos, 2021.
Komen