Penduduk berang gereja beri khutbah konspirasi teori Covid-19 di Sydney


Penduduk di Sydney berang dan buat laporan polis berikutan tindakan sebuah gereja melanggar perintah sekatan pergerakan, malah gereja itu turut dikatakan memberi khutbah berbaur kosnpirasi teori Covid-19 kepada jemaahnya. – Gambar Facebook, 23 Ogos, 2021.

POLIS Australia pada Isnin mengkritik sebuah gereja di Sydney kerana melanggar perintah sekatan pergerakan Covid-19 dengan mengadakan majlis agama kepada 60 orang di kawasan panas pandemik.

Gereja tersebut merupakan sebahagian dari Christ Embassy, ​​sebuah kumpulan agama antarabangsa yang ibu pejabatnya terletak di Lagos, Nigeria. Ia juga mempunyai sejarah menyebarkan teori konspirasi mengenai Covid-19.

Setelah para penduduk membuat laporan pelanggaran tersebut pada Ahad, polis menyiasat gereja Christ Embassy di Sydney itu dan mengenakan denda sebanyak AUS$3,600 kepada pertubuhan dan AUS$1,000 kepada 30 ahli jawatankuasa gereja.

Media Australia memetik khutbah disiarkan di Facebook pada Ahad dari gereja di Blacktown itu sebagai berkata: “Atas nama Jesus, kami tolak setiap sekatan pergerakan dalam bandar kami. Kami isytiharkan sekatan pergerakan sudah tamat, atas nama Jesus.”

Gereja Sydney bagaimanapun tidak segera memberi respons terhadap isu tersebut.

“Sangat sedih dan mengecewakan apabila anda lihat orang secara terang-terangan menganggap diri mereka bertentangan dengan apa yang kita tahu ada fungsinya, dan bertentangan dengan apa yang kita tahu dapat buatkan orang keluar dari hospital,” kata Gladys Berejiklian, menteri besar New South Wales dalam sidang media.

“Itulah kuncinya: untuk bagi orang keluar dari hospital, untuk pastikan kita jaga kita sebaik mungkin. Dan kita tahu vaksin memainkan peranan besar.”

Seluruh Sydney kini berada di bawah arahan duduk di rumah bagi mengekang penularan varian Delta yang kini telah menjangkiti kira-kira 800 orang setiap hari.

Penduduk hanya dibenarkan keluar untuk membeli barang keperluan, bersenam, untuk tujuan kecemasan kesihatan atau beberapa sebab lain.

Wakil pesuruhjaya polis negeri, Gary Worboys berkata, apa yang dilakukan gereja itu adalah peristiwa yang mengecewakan, bakal “menimbulkan kemarahan kepada orang ramai”.

Video khutbah gereja itu bagaimanapun sudah dipadam di laman Facebook Christ Embassy Sydney.

Laman web gereja Sydney menunjukkan video Perdana Menteri Scott Morrison berkata pada April 2020, gereja boleh menyiarkan atau memberi khutbah dan orang yang menyampaikan khutbah perlu patuh peraturan di tempat kerja dan penjarakkan sosial.

Pertubuhan Christ Embassy global diketuai oleh Chris Oyakhilome, yang digambarkan di laman webnya sebagai pendeta, guru, pemilik televisyen dan pengarang terlaris ‘Rhapsody of Realities’. Beliau juga merupakan presiden Loveworld Inc, rangkaian penyiaran dan penstriman agama. – AFP, 23 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen