Kestabilan ekonomi China asas pembangunan Hong Kong


Pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan kemajuan di China memberikan asas dan sokongan kukuh terhadap kemakmuran serta pembangunan di Hong Kong. – Gambar EPA, 23 Ogos, 2021.

PERTUMBUHAN ekonomi negara yang mampan dan kemajuan di China memberikan asas dan sokongan kukuh terhadap kemakmuran serta pembangunan di Hong Kong, kata Setiausaha Kewangan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Paul Chan Mo-po.

Dalam catatan diblognya pada Ahad, beliau berkata antara tumpuan Rancangan Pembangunan Negara Lima Tahun Ke-14 (FYP-14) ialah menyokong usaha pembangunan di Hong Kong.

“Dengan sokongan yang akan diberikan dalam pelbagai bidang termasuk menjadikan Hong Kong sebagai hab perniagaan RMB luar pesisir ia sekali gus menyediakan peluang tanpa batasan.

“Kemampuan yang dimiliki China termasuk pembangunan inovasi, sains dan teknologi serta pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka akan dapat membantu Hong Kong lebih maju,” katanya.

Paul Chan berkata kelebihan dimiliki China juga secara tidak langsung memberi peluang untuk Hong Kong meneroka lebih banyak ruang pasaran, permintaan firma dan komoditi serta perkembangan komersial dan jenama.

“Pembangunan sosioekonomi Hong Kong berkait rapat dengan pembangunan dan permintaan dari Tanah Besar China,” katanya.

Berpandukan FYP-14 juga, sokongan akan diberikan agar Hong Kong dapat muncul sebagai pusat pentadbiran aset dan pentadbiran risiko antarabangsa, sekali gus menetapkan pelan pembangunan serta menyediakan pasaran dan peluang tempatan.

“FYP-14 telah menggariskan hala tuju pembangunan Hong Kong untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Ini menetapkan perjalanan yang jelas bagi pembangunan inovasi sains dan teknologi, kewangan, undang-undang serta sektor yang lain di wilayah ini,” kata Paul Chan. – Bernama, 23 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen