Qatar buka pendaftaran pilihan raya majlis syura


Calon mendaftar untuk pilihan raya bagi lantikan ahli majlis syura yang pertama kali diadakan di Qatar. – Gambar AFP, 23 Ogos, 2021.

QATAR membuka pendaftaran calon untuk pilihan raya perundangan yang kali pertama diadakan, semalam dan mengumumkan pemilihan yang tertangguh sekian lama itu akan diadakan pada 2 Oktober.

Pilihan raya untuk 45 kerusi dalam majlis syura, seperti dicadangkan di bawah perlembagaan 2004, ditangguhkan berulang kali dan sebaliknya ahli majlis itu dipilih secara langsung oleh emir, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani.

Hanya waris keturunan Qatari yang juga warganegara pada 1930 layak mengundi dan bertanding sebagai calon, menyebabkan ahli keluarga lain hilang kelayakan.

Sesetengah ahli daripada suku al-Murra adalah antara yang tidak dibenarkan dalam proses pilihan raya itu, mencetuskan kemarahan di media sosial.

Pakar mencadangkan wakil daripada kumpulan yang terkecuali itu mungkin antara yang dilantik secara langsung oleh emir.

Undian majoriti besar diperlukan dalam majlis syura dipilih itu bagi meminda undang-undang kelayakan dan melanjutkan francais untuk memasukkan keluarga Qatari yang baru tiba.

Di Universiti Qatar di pinggir Doha, kebanyakan ahli politik lelaki mendaftar untuk bertanding dalam pilihan raya itu.

Mereka akan diperiksa oleh kementerian dalam negeri berkenaan kriteria kelayakan termasuk siasatan jenayah dan karakter, selain pengesahan terhadap dakwaan kewarganegaraan Qatari.

Proses pendaftaran akan berlangsung hingga Khamis, dan kempen dijadualkan bermula bulan depan.

Perdana Menteri Sheikh Khalid Khalifa berkata pilihan raya itu yang kali pertama dalam sejarah Qatar perlu melindungi perpaduan negara. – AFP, 23 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen