Mesir tutup lintasan sempadan Rafah-Gaza


Mesir sudah memaklumkan kepada pihak berkuasa Gaza ia akan menutup lintasan sempadan Rafah bermula hari ini. – Gambar EPA, 23 Ogos, 2021.

MESIR memaklumkan kepada pihak berkuasa Gaza ia akan menutup lintasan sempadan Rafah bermula hari ini, kata jurucakap kerajaan Hamas.

“Kami dimaklumkan oleh pihak berkuasa Mesir, lintasan Rafah akan ditutup bermula Isnin, di kedua-dua arah laluan,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Gaza Iyad al-Bozom dalam satu kenyataan petang semalam.

Sumber keselamatan di Mesir mengesahkan tindakan itu berkata lintasan itu akan ditutup hingga diberitahu kelak, tanpa memberikan sebarang butiran lanjut atau sebab tindakan itu diambil.

Mesir mengarahkan lintasan Rafah antara Gaza dan Mesir – satu-satunya pintu sempadan ke Gaza yang tidak dikawal Israel – dibuka pada Mei bagi membolehkan penduduk Gaza yang cedera dibawa masuk dan dirawat di hospital Mesir, selain untuk menghantar bantuan.

Pembukaan lintasan itu susulan 11 hari Hamas dan tentera Israel saling berbalas serangan udara dan roket, di mana menyebabkan Mesir berjanji memberikan sumbangan AS$500 juta untuk pembangunan semula Gaza.

Mesir menjadi orang tengah melakukan rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas untuk menghentikan keganasan itu.

Keputusan Mesir menutup Rafah dibuat selepas berlaku keganasan antara Israel dan rakyat Palestin di Gaza pada hujung minggu lalu. – AFP, 23 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen