BEKAS presiden Bolivia Jeanine Anez yang sedang menjalani hukuman penjara dalam keadaan stabil selepas insiden beliau cuba membunuh diri selepas pendakwa raya menuduhnya melakukan “genosid” berhubung kematian penunjuk perasaan pada 2019, kata pihak berkuasa.
Anez, 54, cuba membunuh diri kerana mengalami kemurungan yang teruk susulan hukuman penjara, kata anak perempuannya, Carolina Ribera.
“Kesihatannya stabil,” kata pengarah penjara Juan Carlos Limpias.
“Pada masa ini beliau berada bersama keluarganya di penjara. Keluarga menjadi faktor penting untuk membantunya memulihkan keadaan fikirannya,” katanya.
Pihak berkuasa Bolivia mengumumkan Anez cuba menderakan diri, dengan Menteri Dalam Negeri Eduardo del Castillo berkata Anez hanya mengalami kecederaan kecil di tangannya dan berada dalam keadaan stabil.
Pihak pembangkang mendesak kerajaan membebaskan Anez.
Keluarga Anez memohon kerajaan memindahkannya ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi hipertension dan penyakit lain yang dialaminya.
Anez, seorang pemimpin konservatif menjawat jawatan itu pada November 2019 selepas presiden pada masa itu, Evo Morales meletak jawatan dan melarikan diri susulan protes keganasan berminggu-minggu yang berlaku, membantah pelantikannya semula bagi penggal keempat.
Tuduhan terhadap Anez berkaitan dua insiden pada November 2019 di mana seramai 22 orang maut.
Peguam Negara Juan Lanchipa pada Jumaat berkata beliau menyerahkan dokumen pertuduhan terhadap Anez di mana insiden berkenaan diklasifikasikan sebagai genosid, kecederaan serius dan kecil yang menyebabkan kematian.
Selepas Morales meletak jawatan, Anez sebagai ahli Parlimen paling kanan, mengangkat sumpah sebagai presiden sementara tetapi pesaing politiknya mendakwa tindakan itu adalah rampasan kuasa.
Di bawah pentadbiran Anez, Bolivia mengadakan pilihan raya yang aman dan telus pada Oktober 2020 di mana menyaksikan protégé Morales, Luis Arce menang.
Arce kemudian berikrar untuk mengambil tindakan terhadap apa yang didakwanya sebagai rampasan kuasa.
Anez, ditahan pada Mac atas tuduhan mengetuai rampasan kuasa, dan turut berdepan tuduhan keganasan, hasutan dan konspirasi. – AFP, 23 Ogos, 2021.
Komen