BANJIR teruk melanda negeri di selatan Amerika Syarikat (AS), Tennessee menyebabkan sekurang-kurangnya 16 maut dan berpuluh-puluh lagi hilang, kata pihak berkuasa.
Tennessee dilanda banjir pada Sabtu dengan pakar meteorologi menyifatkan ia banjir dan ribut paling teruk dalam sejarah, dengan membawa hujan lebat.
Jalan raya di kawasan luar bandar, lebuh raya negeri dan jambatan rosak teruk dengan bekalan elektrik di kebanyakan tempat terputus, menjejaskan ribuan penduduk.
Setakat 3 petang waktu tempatan semalam, Jabatan Kesihatan Tennessee mengesahkan 16 kematian di Humphreys County.
Bagaimanapun, ia berkata angka itu jumlah awal, dan mungkin meningkat selepas kemas kini daripada pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Akhbar The Tennesseean melaporkan 21 kematian, memetik jabatan pengurusan bencana Humphreys County.
Operasi mencari dan menyelamat disambung semalam dengan pekerja pergi dari rumah ke rumah untuk mencari mangsa atau memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Humphreys County terletak di tengah-tengah, kira-kira 90 minit memandu dari Nashville, pusat muzik negara itu.
Pada sidang media petang semalam di Washington, Presiden Joe Biden menzahirkan takziah kepada mangsa dan keluarga tragedi itu.
Serif Humphreys County Chris Davis memberitahu CNN antara mangsa yang maut ialah dua kanak-kanak.
Kira-kira enam kanak-kanak turut hilang, kata Davis.
Pihak berkuasa mengenakan perintah berkurung pada waktu malam. – AFP, 23 Ogos, 2021.
Komen