PEMIMPIN G7 akan membincangkan mengenai krisis Afghanistan pada Selasa pada satu sidang puncak maya, umum Perdana Menteri Britain, Boris Johnson hari ini, seminggu selepas Taliban kembali berkuasa di negara itu.
“Adalah penting komuniti antarabangsa bekerjasama untuk memastikan pemindahan yang selamat, mencegah krisis kemanusiaan dan menyokong rakyat Afghan untuk mengembalikan apa yang mereka peroleh sejak 20 tahun lalu,” tulis Johnson dalam Twitter.
United Kingdom kini menjadi pengerusi G7 yang terdiri daripada Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun dan Amerika Syarikat dan Johnson sudah diminta untuk mengadakan mesyuarat sejak minggu lalu.
Sekutu Barat itu berdepan kritikan mengenai cara mereka menangani krisis di Afghanistan susulan suasana kecoh ketika berpuluh-puluh ribu rakyat Afghanistan dan warga asing cuba meninggalkan Kabul selepas kumpulan militan Islam itu kembali berkuasa.
Berikutan mesyuarat maya pada Khamis, menteri luar G7 menggesa Taliban memberikan laluan selamat kepada mereka yang cuba meninggalkan ibu negara itu, kenyataan rasmi pertama blok mengenai krisis itu.
Pada Jun, G7 mengadakan sidang puncak pertama dalam tempoh dua tahun di Cornwall, barat daya England, apabila koronavirus dan menangani ketegasan China menguasai agenda.
Sejak itu, Taliban melancarkan serangan ke seluruh negara dan mengejutkan Barat dengan menawan semula hampir keseluruhan Afghanistan dalam tempoh beberapa minggu, ketika AS dan sekutunya menarik diri pembabitan selama dua dekad di negara itu.
AS, yang menghantar beribu tentera secara sementara untuk cuba merampas semula lapangan terbang dan membantu proses pemindahan rakyat negaranya serta penduduk Afghanistan yang membantu mereka, menyasarkan untuk melengkapkan proses itu sebelum 31 Ogos. – AFP, 22 Ogos, 2021.
Komen