KERAJAAN persekutuan Amerika Syarikat mula ditutup hari ini selepas Dewan Senatnya gagal mencapai kata sepakat meluluskan belanjawan baru, lapor BBC.
Pemberhentian perkhidmatan beberapa agensi kerajaan ini mengulangi episod sama pada 2013 yang ketika itu menjejaskan operasi pentadbiran selama 16 hari apabila banyak kakitangan kerajaan dipaksa mengambil cuti.
Menjelang tempoh akhir pengundian, tiada sebarang petunjuk jelas kecenderungan sokongan wakil rakyat Demokrat dan Republikan yang tidak sependapat atas beberapa isu pokok.
Biarpun ada beberapa siri rundingan antara kedua-dua pihak, rang undang-undang yang akan menentukan dana kerajaan sehingga 16 Februari ini tidak mendapat sekurang-kurangnya 60 undi menyokong yang diperlukan.
Ini bermakna banyak perkhidmatan kerajaan terpaksa ditutup sehingga belanjawan baru itu diluluskan.
Ini adalah kali pertama dalam sejarah Amerika berlakunya penutupan kerajaan ketika parti yang sama iaitu Republikan menguasai kedua-dua dewan perwakilan dan dewan senat di Kongres serta White House.
Dewan Perwakilan pada Khamis malam mengundi 230-197 untuk melanjutkan belanjawan sehingga bulan depan namun ia terkandas di Dewan Senat yang mengundi 50-49.
Lima wakil Republikan mengundi menolak belanjawan itu sementara lima wakil Demokrat mengundi menyokong.
Tanpa dana operasi yang diluluskan oleh Kongres, pejabat-pejabat kerajaan terpaksa ditutup mengikut peruntukan undang-undang, antaranya taman negara dan tugu negara.
Namun beberapa perkhidmatan penting masih boleh terus berjalan, termasuk agensi keselamatan, perkhidmatan pos, kawalan udara, hospital, penjara dan pejabat cukai.
Beberapa jam sebelum undian bermula, Presiden Donald Trump dengan nada yang pesimis menulis di Twitter membayangkan penutupan akan berlaku.
Beliau menjemput pemimpin Senat dari Demokrat, Chuck Schumer untuk ke White House bagi mengadakan perbincangan namun menemui jalan buntu. – Agensi, 20 Januari, 2019
Komen