PEMIMPIN Umno mula menepis dakwaan yang pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob adalah kerajaan Perikatan Nasional.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan antara yang terbaru mengulas isu itu dengan mendakwa kerajaan semasa adalah campuran terbaru dan bukannya PN.
“Kerajaan baru ini pada saya bukan Kerajaan PN tapi adalah Kerajaan Malaysia yg dianggotai parti-pari BN, PN, GPS dan PBS. Ini kerajaan campuran.
“PN hanya dianggotai oleh PPBM, PAS, Gerakan, Star dan tidak BN, GPS & PBS,” katanya di Twitternya, malam tadi.
Kenyataan Ahmad itu susulan kenyataan Muhyiddin Yassin semalam yang berkata beliau akan terus menyokong Ismail dan kerajaan BN.
“Saya memberi sokongan penuh kepada beliau dan insya-Allah akan terus membantu Kerajaan Perikatan Nasional menyampaikan khidmat yang terbaik kepada rakyat, khususnya dalam tempoh pemulihan negara,” katanya di Facebook.
Senada dengan Ahmad ialah Ahli Majlis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan yang menyatakan pentadbiran PN sudah berakhir.
“Alhamdullilah YAB DS Ismail Sabri telah dilantik menjadi Perdana Menteri ke-9.
“Maka jenama Perikatan Nasional sebagai kerajaan persekutuan berakhir hari ini. Sebelum ini pun BN bukan ahli komponen PN.
“Kerajaan dulu ialah gabungan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukannya kerajaan Perikatan Nasional. Entah siapalah yang memandai-mandai melabelkan kerajaan dulu adalah kerajaan Perikatan Nasional,” katanya di Facebook.
Sementara itu, portal berita The Vibes juga memetik kenyataan Mohamed Azmin Ali yang Ismail akan terus menerajui PN.
“Saya percaya Ismail Sabri akan terus mengetuai kerajaan PN. Fokus kita adalah mengawal situasi pandemik Covid-19 sekarang dan memacu pemulihan ekonomi,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat Bersatu di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Ismai, 61, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kesembilan Malaysia tengahari semalam. – 22 Ogos, 2021.
Komen