Blair kecam Barat berundur dari Afghanistan


Tony Blair, bekas perdana menteri Britain yang mengheret negara itu ke kancah perang di Timur Tengah mengecam tindakan Barat berundur dari Afghanistan. – Gambar AFP, 22 Ogos, 2021.

BEKAS perdana menteri UK Tony Blair yang pada 2001 mengheret Britain ke kancah perang Afghanistan bersama Amerika Syarikat, semalam mengecam tindakan “pengabaian” Barat yang dianggapnya “merbahaya” dan “tidak perlu”.

Dalam ulasan pertama krisis itu sejak tumbangnya kerajaan Afghan hujung minggu lepas, Blair mengecam motif penarikan diri AS, menganggapnya sebagai “memalukan” dan “dipandu bukan oleh strategi tetapi politik”.

“Pengabaikan Afghanistan dan rakyatnya adalah tragik, merbahaya, tidak perlu, bukan demi kepentingan mereka dan kita,” tulis Blair dalam artikel diterbitkan di laman web institusinya.

“Kita tak perlu berbuat demikian. Kita memilih untuk berbuat demikian.

“Kita melakukannya untuk mematuhi slogan politik memalukan tentang menamatkan ‘perang abadi’, seolah-olah penglibatan kita pada 2021 terpisah dan tidak terbanding dengan komitmen 20 atau 10 tahun lepas.”

Ulasan itu dilihat sebagai serangan terus-terang kepada Presiden AS Joe Biden yang berulang kali menggunakan terma “perang abadi” ketika kempennya tahun lepas.

Blair, tokoh kontroversi di Britain dan luar negara itu kerana menyokong kuat tindakan ketenteraan diketuai AS di Afghanistan dan Iraq, berhujah yang penarikan itu “menggembirakan semua kumpulan pengganas seluruh dunia.”

“Rusia, China dan Iran akan tunggu dan ambil kesempatan. Sesiapa yang diberikan komitmen oleh pemimpin Barat akan menganggap mereka sebagai tidak stabil (tidak boleh dipercayai),” tambahnya.

Setiausaha Luar British Dominic Saab yang dikecam hebat kerana bercuti ketika kejatuhan Kabul, semalam mengakui yang Moscow dan Beijing akan memainkan peranan lebih besar di Afghanistan.

Blair, salah seorang pemimpin Britain paling lama berkuasa sejak mula mentabir pada 1997, beliau membentuk hubungan kuat dengan bekas presiden AS George W.Bush dalam kempen perang melawan keganasan.

Sokongan kuat kepada kempen ketenteraan tidak popular di Timur Tengah itu dianggap sebagai salah satu punca beliau terpaksa berundur dan menyerah kuasa kepada Gordon Brown pada 2007. – AFP,22 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen