Palau catat kes pertama Covid-19


Dalam percubaan membuka semula industri pelancongan, Palau mewujudkan perjalanan gelembung bebas kuarantin bersama Taiwan pada April. – Gambar AFP, 22 Ogos, 2021.

NEGARA kecil di Pasifik, Palau melaporkan kes pertama koronavirus semalam, menyebabkan ia kini bukan lagi negara di dunia yang bebas Covid-19.

Dua pengunjung yang didapati positif selepas tiba dari Guam, dikenakan kuarantin, begitu juga kontak rapat mereka.

“Kami menggesa seorang orang kekal tenang,” kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan selepas membuat keputusan untuk menguatkuasakan langkah perintah berkurung.

Dengan lebih 80% daripada populasi 18,000 penduduk sudah divaksin sepenuhnya, menyebabkan Presiden Surangel Whipps berkata negara kepulauan yang agak terpencil itu “sebelum ini bebas Covid-19 tetapi kini selamat daripada Covid-19”.

Sehingga semalam, Palau satu daripada 14 negara di dunia yang tidak ada laporan kes virus itu langsung, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia.

Kementerian Kesihatan tidak memberitahu berapa ramai kontak yang diasingkan tetpai jurucakap berkata mereka tidak percaya ada berlakunya jangkitan dalam komuniti.

Whipps berkata sesiapa yang sudah divaksin sepenuhnya boleh berjangkit tetapi ia hanya akan seperti selesema atau tidak menunjukkan gejala langsung.

Pengunjung terbabit didapati negative 72 jam sebelum berlepas tetapi positif ketika mereka menjalani ujian wajib lima hari selepas tiba di negara itu.

Protokol Palau mewajibkan dalam lima hari pertama ketibaan, pengunjung perlu memakai pelitup muka dan mengelak tempat yang sesak.

Negara itu belum dapat mengenal pasti jenis varian koronavirus berkenaan dan sampel sudah dihantar ke Amerika Syarikat untuk dianalisis.

Palau, terletak kira-kira 1,000km di timur Filipina, satu daripada hanya beberapa negara yang dapat mengelak Covid-19 selepas menutup sempadan mereka seawal pandemik bermula, walaupun berdepan kerugian besar daripada sektor pelancongan yang menjadi sumber ekonomi utama negara berkenaan.

Kebanyakan negara berkenaan yang disenaraikan sebagai bebas virus oleh WHO ialah negara kepulauan yang kecil di Pasifik, sementara Korea Utara dan Turkmenistan yang mendakwa kes sifar diragui kebanyakan penganalisis.

Dalam percubaan membuka semula industri pelancongan, Palau mewujudkan perjalanan gelembung bebas kuarantin bersama Taiwan pada April.

Ia ditutup sebulan kemudian apabila Taiwan berdepan lonjakan kes dan dibuka semula minggu lalu. – AFP, 22 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen