PULUHAN ribu penduduk menyertai demonstrasi di jalan raya di Perancis sekali lagi semalam, membantah dasar vaksinasi Covid-19 dikuatkuasakan kerajaan.
Perarakan semalam adalah protes kali keenam hujung minggu berturut-turut, membantah sistem pas kesihatan diumumkan Presiden Emmanuel Macron yang didakwa mereka sebagai sekatan tidak adil terhadap hak untuk individu yang tidak divaksin.
Kementerian Dalam Negeri meletakkan angka peserta protes sekitar 175,000 di 220 demonstrasi di seluruh negara termasuk 14,700 di Paris setakat 7 malam tadi.
Di bawah sistem pas baharu itu yang diperkenalkan pertengahan Julai lalu, sesiapa yang mahu masuk ke restoran, pawagam, menaiki kereta api jarak jauh atau ke pusat beli-belah besar perlu menunjukkan bukti vaksinasi atau ujian negatif Covid-19.
Penunjuk perasaan mengibarkan bendera dan kain rentang dengan perkataan “Liberty” dan melaungkan: “Macron! Kami tidak mahu pas anda!”
Gerakan protes itu menggabungkan golongan teori konspirasi, anti vaksin dan bekas peserta demonstrasi anti kerajaan “Jaket Kuning”.
Kira-kira 200,000 peserta tunjuk perasaan berarak minggu lalu, menurut angka kementerian. – AFP, 22 Ogos, 2021.
Komen