AMERIKA Syarikat (AS) mengeluarkan amaran kepada rakyatnya supaya tidak menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul, susulan ancaman keselamatan dan suasana sesak di kawasan tersebut.
Amaran itu disiarkan di laman web Kedutaan AS di Afghanistan serta dimuat naik di Twitter oleh Jabatan Negara AS tetapi tidak memberikan perincian mengenai ancaman berkenaan.
Amaran itu hanya memberitahu “isu keselamatan dipercayai bakal berlaku”, susulan ribuan penduduk cuba melarikan diri dari Afghanistan selepas Taliban mengambil alih kuasa pada 15 Ogos lalu.
“Oleh kerana ancaman keselamatan di luar lapangan terbang, kita menasihatkan rakyat AS mengelak melakukan perjalanan ke lapangan terbang dan mengelak pintu masuk ke situ pada masa ini sehingga anda menerima arahan daripada wakil kerajaan AS untuk berbuat demikian,” menurut amaran dalam laman web Kedutaan AS di Afghanistan.
Puluhan ribu penduduk Afghanistan serta warga asing tertumpu di lapangan terbang dalam usaha meninggalkan negara berkenaan.
Jabatan Pertahanan AS berkata seramai 17,000 orang termasuk 2,500 rakyat AS diterbangkan keluar dari Afghanistan.
Rakyat negara lain turut digesa mengambil langkah berjaga-jaga.
Jerman mengeluarkan amaran kepada rakyatnya supaya tidak mendekati kawasan lapangan terbang sementara Switzerland menunda penerbangan bagi mengeluarkan rakyatnya di Kabul.
Ketika ini lapangan terbang itu dikawal ketat pasukan tentera AS bagi membantu proses pemindahan warga asing serta rakyat Afghanistan.
Kerajaan AS berkata semua anggota tentera negara itu akan dikeluarkan menjelang 31 Ogos ini. – AFP, 22 Ogos, 2021.
Komen