Israel serang penunjuk perasaan, 24 cedera


Kementerian Kesihatan Gaza berkata seramai 24 orang awam cedera termasuk 10 kanak-kanak dalam serangan tentera Israel. – Gambar EPA, 22 Ogos, 2021.

TENTERA Israel melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang melemparkan bom dan membakar tayar di sempadan Semenanjung Gaza, semalam, menyebabkan 24 cedera.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata seramai 24 orang awam cedera termasuk 10 kanak-kanak.

“Dua daripadanya dalam keadaan kritikal, seorang budak lelaki berusia 13 tahun, yang dipukul di kepala dalam kejadian di timur bandar Gaza,” katanya.

Tentera Israel berkata beratus-ratus penduduk Gaza berkumpul di sepanjang pagar sempadan.

“Tentera bersiap sedia di kawasan terbabit dan menggunakan pelbagai cara untuk menyuraikan rusuhan,” kata wakil tentera.

Kumpulan pejuang Hamas yang memerintah Gaza mengadakan demonstrasi untuk memperingati 52 tahun pembakaran Masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis lalu, tempat ketiga paling suci bagi umat Islam.

“Masjid Al-Aqsa berada dalam ‘red line’ dan setiap serangan ke atasnya akan mendapat tentangan berani daripada rakyat,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Protes itu terjadi tepat tiga bulan sejak Israel dan Hamas mencapai gencatan senjata susulan pertempuran menyebabkan ramai terkorban selama bertahun-tahun.

Hamas berkata pihaknya mengambil tindakan selepas pasukan keselamatan Israel menyerbu Al-Aqsa.

Dalam tempoh lebih setahun, tentera zionis membunuh lebih 350 penduduk Palestin di Gaza, setiap kali melakukan demonstrasi. – AFP, 22 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen