Guru, pelajar perlu divaksin sebelum sekolah dibuka, kata persatuan ibu bapa


Khoo Gek San

Walaupun sebilangan besar guru sudah divaksin, kumpulan ibu bapa mendesak agar semua guru diberikan imunisasi Covid-19 sebelum sekolah dibuka semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos 2021.

SEKOLAH wajar memastikan guru dan pelajar diberikan vaksin Covid-19 sepenuhnya dan semua langkah berjaga-jaga perlu diambil sebelum membenarkan sesi pembelajaran secara fizikal disambung semula, kata kumpulan ibu bapa dan guru.

Mereka berkata ibu bapa masih ragu-ragu untuk menghantar semula anak-anak ke sekolah pada 3 Oktober depan berikutan lebih 100 kluster Covid-19 berkaitan pendidikan dilaporkan setakat ini.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa terhadap Pendidikan Noor Azimah Abdul Rahim berkata sekolah harus dibuka semula akan “tetapi dengan langkah berhati-hati”.

Walaupun sebilangan besar guru sudah divaksin, namun Noor Azimah mendesak agar semua guru diberikan pelalian Covid-19 sebelum sekolah dibuka semula.

“Guru yang enggan diberikan vaksin harus memakai lima lapisan pelitup mulut dan pelindung muka supaya pelajar dan guru lain selamat,” katanya

Noor Azimah berkata, adalah lebih baik mengkaji bagaimana negara lain melaksanakannya kerana penularan wabak berkenaan di kalangan masyarakat Malaysia masih tinggi.

“Ini berisiko tinggi. Bank Dunia, Unicef ​​dan Unesco mempunyai strategi bagi membolehkan sekolah dibuka semula,” katanya.

Bulan lalu, bekas menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, guru akan diberikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos sebelum sekolah dibuka semula.

Pada 28 Julai lalu, seramai 303,682 guru sekolah atau 73.5% dilapor sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Noor Azimah berkata adalah sangat penting untuk menyediakan data vaksinasi guru dan staf sokongan.

“Guru dan staf sokongan yang enggan diberi vaksin harus ditegur kerana mereka boleh membahayakan pelajar dan menjangkiti mereka.

“Pastikan mereka melakukan ujian calitan PCR setiap minggu dengan perbelanjaan sendiri dan memakai pelindung muka dan pelitup mulut yang tebal setiap masa.

“Bilik darjah, pejabat sekolah dan bilik guru juga perlu diberikan pengudaraan yang baik. Kesesakan mesti dielakkan sepanjang masa,” kata Noor Azimah. – 22 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen